Thursday, February 6, 2014

Ambil iktibar krisis politik Thailand

SHAH ALAM - "Ambillah iktibar daripada apa yang berlaku di Thailand," demikian menurut penganalisis politik Profesor Madya Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Agus yang juga merupakan Pensyarah Sains Politik  daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pergolakan politik di Thailand telah mengakibatkan beberapa rentetan permasalahan berlanjutan dan akhirnya telah menjerat rakyat serta negara itu sendiri.

"Bagi saya krisis ini telah memberi kesan besar kepada Thailand. Pertama, krisis ini telah menyebabkan ekonomi Thailand merosot. Pelabur tidak datang lagi kerana bimbang berlakunya rampasan kuasa tentera. Akibatnya, pertumbuhan ekonomi Thailand menjunam dari 6.5 peratus pada tahun 2012 menjadi hanya 2.7 peratus pada suku ketiga 2013.

"...kedua, sektor pelancongan yang menyumbang 7 peratus kepada pendapatan negara telah merosot kerana pelancong asing tidak lagi datang ke Thailand kerana bimbang ancaman terhadap keselamatan mereka, apatah lagi peringatan telah diberikan oleh kedutaan mereka supaya menangguhkan dahulu perjalanan ke Thailand.

"...ketiga, ketidakstabilan politik ini meredam belanja pengguna domestik serta rancangan pelaburan oleh syarikat-syarikat asing.

Banyak syarikat multinasional yang menangguhkan pelaburan mereka di Thailand. Akibatnya ramai rakyat Thailand kehilangan peluang pekerjaan.

"...keempat, krisis ini memberi kesan kepada kestabilan politik Thailand. Kerajaan gagal berfungsi dengan baik dan jika hal ini berterusan, maka Thailand sekali lagi terdedah kepada rampasan kuasa tentera.

"...oleh itu dari kisah di atas, apakah pengajaran untuk kita? Tafsirlah," katanya menerusi laman Facebooknya.

Thailand adalah sebuah negara yang paling kerap bertukar kuasa antara orang awam dan tentera. Dari 1932 hingga 2006, berlaku sebanyak 17 kali rampasan kuasa,10 kali berjaya dan 7 kali gagal.

Rampasan kuasa pertama dilakukan pada tahun 1932 oleh sekumpulan anak muda lulusan luar negara sehingga memaksakan Raja Prajadhipok ketika itu mengubah Thailand daripada sebuah negara monarki mutlak kepada negara raja berperlembagaan.

Rampasan kuasa terakhir pula adalah pada 19 September 2006 apabila pihak tentera yang diketuai Jeneral Sonthi Boonyaratglin mengambil alih kuasa dan menyingkirkan PM Thaksin Shinawatra yang ketika itu berada di New York menghadiri persidangan PBB.

Sejak rampasan kuasa terakhir tersebut, Thailand tidak pernah aman. PM bertukar tangan, tetapi keamanan tidak juga tercapai - sinarharian