Friday, June 20, 2014

Peluang bertemu Sultan



JOHOR BAHRU - Kira-kira 4,000 pengunjung dijangka membanjiri majlis perasmian Kembara Mahkota Johor 2014 (KMJ 2014) yang memasuki edisi ke-17 di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru hari ini.
Menurut Pegawai Daerah Johor Bahru, Amran A. Rahman, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohamed Aziz akan menyempurnakan acara pelepasan yang diketuai oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim turut akan diiringi oleh kerabat diraja Johor dan barisan kepimpinan kerajaan negeri menaiki bas yang dipandu sendiri oleh baginda.
"Pihak MBJB juga merasa amat bertuah kerana dipilih menjadi tuan rumah acara pembukaan dan acara penutup di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Nusajaya Selasa ini," katanya.
Selepas upacara pelepasan, destinasi pertama yang bakal dikunjungi Sultan Johor ialah Maktab Rendah Sains Mara, Seri Alam sebelum berangkat ke Kulaijaya.
KMJ 2014 menampilkan kelainan apabila Sultan Johor bakal menjelajah negeri bertemu rakyat menggunakan bas mulai 21 hingga 24 Jun.
Baginda akan memandu sendiri bas Prevost Marathon Coach dalam usaha baginda mendekati rakyat dan mengetahui masalah masyarakat di luar bandar.
Sultan Ibrahim akan merentasi 10 daerah dalam perjalanan sejauh 858 kilometer bermula dari Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru dan berakhir di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, Nusa Jaya-kosmo