Tuesday, March 25, 2014

Belum terlewat Pas buat pendirian kes liwat

PADA 12 Mac lalu, Majlis Peguam dalam satu kenyataan media menyifatkan hukuman penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Rayuan ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak wajar kerana perbuatan tersebut dilakukan atas dasar suka sama suka antara dua orang dewasa.
Menurut Presidennya, Christopher Leong, kesalahan di bawah Seksyen 377A yang meletakkan liwat sebagai jenayah hanya diguna pakai jika perbuatan itu dilakukan atas dasar paksaan sedangkan dalam kes Anwar, perbuatan itu dilakukan dengan kerelaan mangsa.
Kenyataan yang mengejutkan banyak pihak itu turut disiarkan di laman web rasmi badan peguam berkenaan.
Membaca kenyataan itu jelas menunjukkan Majlis Peguam mengakui Anwar telah melakukan liwat dan pandangan tersebut senada dengan keputusan yang dibuat oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan.
Sudah tentu sebelum dikeluarkan secara rasmi, Majlis Peguam mempunyai asas untuk menyokong kenyataan tersebut iaitu dalam kes Anwar perbuatan itu telah dilakukan atas dasar kerelaan mangsa.
Dari sudut Islam, persoalan sama ada perbuatan tersebut dilakukan secara paksaan atau suka sama suka tidak timbul kerana yang paling penting, liwat adalah perbuatan keji dan amat ditegah agama suci itu. Asas kepada hukum pengharaman itu terdapat di dalam al-Quran dan hadis antaranya surah al-A'raf, ayat 80 hingga 84 dan surah Hud, ayat 80 hingga 81.
Di dalam surah al-A'raf ayat 80, Allah menyatakan dengan tegas bahawa mereka yang melakukan hubungan sejenis (lelaki sesama lelaki) adalah kaum yang melampau batas.
Malah dalam ayat 84 surah yang sama dinyatakan bagaimana Allah telah menimpakan kaum Nabi Lut dengan hujan batu untuk membinasakan mereka.
Kisah yang sama juga disebut dalam surah asy-Syuara' mulai ayat 165 hingga 174 bertujuan mengingatkan umat manusia bahawa hubungan sejenis merupakan satu perbuatan keji dan jijik malah Allah sedia membinasakan kaum yang melakukannya.
Hubungan seks yang bertentangan daripada kehendak Allah bukan sahaja hukumnya haram tetapi langkah-langkah awal ke arahnya itu juga amat ditegah. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Tidak boleh seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain dan tidak boleh seorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh seorang lelaki menyentuhkan badannya kepada badan lelaki yang lain di dalam satu selimut dan tidak boleh seorang wanita menyentuhkan badannya kepada badan wanita yang lain dalam satu selimut." (Sohih Muslim no: 338).
Ringkasnya, Islam melarang umat-umatnya melakukan hubungan sejenis tidak kira apa terma yang digunakan sama ada liwat atau homoseksual dan tidak kira dilakukan secara paksa atau suka sama suka.
Hukumnya jelas dan qatie iaitu haram dan dosanya amat besar sehingga Allah dalam beberapa surah di dalam al-Quran telah menceritakan bagaimana kaum Nabi Lut telah dibinasakan dengan ditimpa hujan batu kerana perbuatan mereka yang cukup melampaui batas (adakan hubungan sejenis).
Persoalannya sekarang apakah pendirian Pas terhadap perkembangan terbaru Ketua Pembangkang itu kerana sehingga kini kepimpinan parti tersebut terutama Majlis Syura Ulama membisu seribu bahasa sejak Anwar disabitkan bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 7 Mac lalu.
Sekiranya mereka sukar untuk menerima keputusan Mahkamah Rayuan itu, bagaimana pula dengan kenyataan yang dibuat oleh Majlis Peguam pada 12 Mac lalu yang umum mengetahui badan itu cenderung kepada pembangkang.
Adakah kenyataan daripada Majlis Peguam itu juga sukar hendak diterima oleh Pas ataupun mereka percaya Anwar melakukan liwat berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan serta kenyataan Majlis Peguam itu namun disebabkan politik, pemimpin-pemimpin Pas termasuk barisan ulamanya tidak mampu berbuat apa-apa.
Sungguh hairan, dahulu mereka dengan mudah menggelarkan ulama yang tidak sehaluan atau ulama yang menyokong pemerintah sebagai ulama jahat.
Mereka menggelarkan golongan tersebut sebagai ulama yang menyembunyikan ilmu kerana mahukan ganjaran tetapi lihat apa yang telah berlaku kepada ulama-ulama Pas sekarang.
Apabila terkena batang hidung sendiri mereka terus diam, langsung tidak berbunyi.
Terdapat dua hadis Rasulullah SAW yang mengisahkan balasan Allah terhadap golongan yang menyembunyi serta mengkhianati ilmu.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya; "Sesiapa ditanya tentang ilmu yang diketahui, kemudian menyembunyikannya ia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka pada hari kiamat.'' (Riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi).
Rasulullah turut bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang sengaja membuat pendustaan ke atas-Ku maka sediakanlah tempatnya di dalam neraka,'' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berbalik kepada kegagalan Pas menyatakan pendiriannya berhubung isu itu, bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha percaya kepimpinan dan para ulama dalam parti itu maklum dengan apa yang berlaku dan dilakukan oleh Anwar terutama Presidennya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Cuma katanya, disebabkan kerjasama politik, Pas sehingga kini enggan menyatakan pendirian yang jelas ekoran isu yang menimpa Anwar itu.
"Semua pemimpin dan ulama di dalam Pas perlu jujur malah saya yakin ketua pendakwa dalam kes ini, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah boleh memberi penerangan kepada mereka sebab-sebab Mahkamah Rayuan sabitkan Anwar bersalah dalam kesnya ini,'' katanya lagi.
Apa yang disarankan oleh Norman itu ada kewajarannya memandangkan Pas selama ini telah mengangkat Anwar sebagai ketua organisasi bagi pakatan pembangkang.
Persoalannya kini, adakah Pas sebagai sebuah parti Islam sanggup mempunyai ketua yang telah disabitkan oleh mahkamah melakukan perbuatan liwat?
Diajukan soalan yang sama bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, Pas wajar bertanya lebih lanjut kepada Christopher berhubung bukti yang beliau ada mengenai perbuatan terkutuk atas dasar 'suka sama suka' itu.
"Adakah Pas boleh berdiam diri sekiranya memang benar Christopher mempunya bukti tersebut.
"Jika Christopher memfitnah pakatan ekoran gagal tampil dengan bukti yang konkrit serta meyakinkan maka wajarlah barisan peguam Pas mengambil tindakan undang-undang.
"Ini kerana sebagai sekutu pakatan, Pas juga turut terpalit apabila masyarakat membuat persepsi yang Pas telah diketuai oleh seorang peliwat dalam pakatan mereka,'' katanya lagi - utusan