Wednesday, April 16, 2014

Hormatilah pendirian Pas

RAKAN-rakan sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sudah menunjukkan dengan jelas dan terbuka sikap mereka untuk menolak langkah Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Apabila berbuat demikian ia membuktikan sudah sahlah selama ini, kedua-dua parti itu langsung tidak mempunyai perasaan hormat kepada perjuangan Islam Pas.
Walaupun menyedari sumbangan besar Pas kepada kekuatan pakatan pembangkang tetapi ternyata PKR dan DAP tidak mempedulikan semua itu, apa yang penting bagi mereka ialah Pas perlu tunduk dengan tekanan mereka supaya mematuhi perjanjian yang dimeterai dalam Majlis Pimpinan Pakatan pada tahun 2011 yang antara lain tidak akan melaksanakan hukum hudud.
Lebih mengecewakan apabila kepimpinan Pas yang selama ini begitu patuh dan akur dengan segala perancangan politik PKR terutamanya melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menghadapi tekanan daripada PKR yang mahu Pas menghormati penentangan konsisten yang dibuat oleh DAP.
Kalau begitulah keadaannya, apa gunanya Pas berada di dalam pakatan pembangkang, kalau hanya cakap PKR sahaja mahu didengari dan pendirian DAP sahaja mahu dihormati?
Apakah Pas yang memperjuangkan Islam hanya layak dilayan bagaikan sebuah parti yang `melukut di tepi gantang’ dalam pakatan dan perlu menjadi `pak turut' sahaja, adakah begitu rendah sekali maruah Pas sehingga mereka tidak mempunyai kuasa untuk menegakkan perjuangan sendiri?
Kenapakah PKR dan DAP tidak pernah mahu menghormati Pas yang sebelum ini atas semangat setiakawan, persahabatan dan mengubah hala tuju perjuangannya dari perjuangan negara Islam kepada negara kebajikan?
Adakah Pas hanya sekadar `hamba politik' dalam pakatan yang boleh dikerah untuk bertungkus lumus dalam pilihan raya bagi memastikan kemenangan parti-parti dalam pakatan pembangkang tetapi kemudian terpaksa `mengemis' apabila hendak menegakkan perjuangan sendiri?
Oleh itu timbullah persoalan, apa lagi Pas tunggu dalam pakatan kerana sudah jelas kini rakan-rakan sekutunya tidak menghormati dan menentang perjuangan mereka.
Pas berada dalam pakatan kerana mahu mencari satu gabungan yang boleh membantunya menegakkan hukum hudud selain sedia bertoleransi dalam soal-soal lain dan Pas juga setia dengan pakatan kerana selama ini parti-parti dalam gabungan itu berkongsi misi dengan mereka iaitu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tetapi sekarang sudah jelas, rakan dan sahabat yang diharapkan memberi sokongan atau sekurang-kurangnya menghormati perjuangan Pas ternyata tidak bersikap sedemikian. Malah mereka secara terbuka menentang hasrat Pas biar pun hukum hudud itu hanya akan dilaksanakan di Kelantan yang mempunyai 99 peratus penduduk beragama Islam.
Kalaulah dalam soal sekecil itu pun, PKR dan DAP tidak mahu memberi laluan biar pun amat memahami sumbangan Pas dalam memantapkan pakatan pembangkang, bagaimana pula jika pakatan pembangkang ditakdirkan memerintah negara, adakah pengorbanan Pas akan dihargai.
Tiada siapa pun boleh menafikan betapa besarnya pengorbanan Pas apabila membuat keputusan untuk bersahabat dengan PKR dan DAP. Pas bukan sahaja terpaksa menelan segala kritikan tetapi juga makian.
Malah Pas juga dianggap terlalu teruja untuk merebut kuasa politik sehingga sanggup bersekongkol dengan parti-parti yang sudah jelas menentang hukum hudud khususnya DAP.
Namun Pas pasrah dan bersedia menerima segala kritikan itu kerana matlamat Pas ialah untuk bersama-sama memerintah negara bersama PKR dan DAP.
Atas dasar persahabatan juga Pas melakukan pengorbanan apabila merelakan PKR terus menduduki kerusi Menteri Besar di Selangor biar pun Pas mempunyai kerusi lebih banyak daripada parti itu di Dewan Undangan Negeri.
Justeru apakah ini balasan terhadap pengorbanan Pas apabila mereka ditentang habis-habisan oleh PKR dan DAP semata-mata kerana hendak membentangkan satu rang undang-undang bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
Sepatutnya, PKR dan DAP menyokong hasrat Pas itu kerana Pas sudah memerintah Kelantan sejak 1990 dan melaksanakan hukum hudud sememangnya menjadi cita-cita parti tersebut.
Oleh itu Pas perlu bertegas dalam soal ini dan tidak harus berganjak daripada pendiriannya untuk membentangkan rang undang-undang tersebut. Pas perlu ada keberanian untuk membuktikan bahawa mereka bukan lagi `pak turut' dalam pakatan pembangkang.
Jika PKR dan DAP bertegas mahu Pas menghormati kesepakatan yang telah dibuat bersama, kenapa mereka tidak mahu menghormati hasrat Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan?
Kenapakah PKR dan DAP terlalu bimbang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan? Berapa ramai sangatkah penyokong kedua-dua parti itu di negeri tersebut?
Penulis menerima satu mesej yang diedarkan oleh seorang pemimpin muda Pas berhubung penentangan PKR dan DAP tersebut.
Antara lain mesej itu yang dikatakan dihantar oleh seorang ketua cawangan Pas menyatakan:
“Kiranya untuk pelaksanaan Syariah Allah SWT di Kelantan ini pun yang majoriti umat Islam mahukan ia dilaksanakan dan kita masih tidak dapat melaksanakannya disebabkan bukan kerana Barisan UMNO dan Barisan Nasional (yang selama ini menentangnya) tetapi akibat mengikut pendirian DAP dan PKR yang tidak bersetuju ia dilaksanakan, apakah peluang pelaksanaannya kiranya kita dengan izin Allah SWT dapat menawan Malaysia? Sudah tentulah mustahil untuk dilaksanakan.
“Isu pelaksanaan Syariah Allah SWT di Kelantan ini adalah `turning point’ bagi siasah syariyyah Pas dalam konteks tahaluf siyasi yang kita laksanakan bagi tujuan memenangkan agenda Islam.
“Kiranya pimpinan Pas dan ahli Pas secara majoriti tunduk dan bersetuju dengan pendirian dan kehendak rakan-rakan tahaluf siyasi kita iaitu DAP dan PKR sehingga tidak dapat dilaksanakan syariah Allah SWT di bumi serambi Mekah iaitu Kelantan, maka ana (saya) tanpa syak dan ragu-ragu akan mengisytiharkan diri keluar dari Pas kerana tidak lagi yakin dengan perjuangan Islam Pas.’’
Itulah mesej yang disampaikan oleh pemimpin Pas peringkat cawangan itu yang dengan jelas membuktikan kesungguhannya untuk melihat hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.
Kepimpinan Pas pusat perlu mengambil kira semua pandangan itu kerana itulah suara akar umbi parti tersebut yang benar-benar istiqamah dalam memperjuangkan Islam.
Justeru seandainya ketika pembentangan nanti PKR dan DAP secara konsisten menentang hasrat Pas tersebut, maka tiada gunanya lagi Pas menunggu dalam pakatan kerana buat apalah berada dalam sebuah pakatan atau kerjasama yang hanya menjadikan Pas sebagai `hamba politik', dilayan bagaikan `melukut di tepi gantang' dan diarah patuh umpama ‘pak turut'.- utusan