KETIKA Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan
Iskandar mengumumkan hari cuti rehat bagi negeri ini diubah kepada
Jumaat-Sabtu berbanding Sabtu-Ahad pada majlis sambutan hari keputeraan
baginda pada November tahun lalu, pelbagai reaksi diterima daripada
masyarakat.
Bukan sahaja orang Johor yang heboh, malah rakyat negeri lain turut
'menumpang' sama memperkatakannya. Ada yang berpendapat keputusan itu
memberi kebaikan, malah tidak kurang juga yang meraguinya.
Namun, selepas lebih sebulan dilaksanakan, nyata niat murni Sultan
Ibrahim itu nyata membuahkan hasil. Nyata harapan baginda supaya
masjid-masjid di negeri ini dipenuhi umat Islam untuk beribadah pada
penghulu segala hari ini boleh dikatakan tercapai.
Nah, tengok sahaja pada setiap solat Jumaat, jemaah masjid melimpah ke luar.
Lebih membanggakan, jemaah khususnya kakitangan awam yang bercuti
pada hari tersebut tidak lagi perlu berburu-buru untuk menunaikan solat
Jumaat kerana perlu kembali menyambung seperti sebelum ini.
Sepanjang pemerhatian sejak minggu pertama solat Jumaat pada 3
Januari lalu, ramai jemaah yang mula membanjiri masjid seawal pukul 12
tengah hari berbanding pukul 1 petang sebelum ini.
Nyata peralihan cuti hujung minggu membantu umat Islam membuat persiapan awal untuk bersolat jemaah.
Lebih menggembirakan mereka ke masjid bersama anak-anak atau kenalan.
Perkara ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka solat
berjemaah bersama anak-anak di masjid, tidak seperti sebelum ini
berjemaah bersama rakan-rakan sekerja sahaja.
Usai bersolat, mereka juga tidak perlu tergesa-gesa untuk pulang ke
pejabat seperti sebelum ini kerana terpaksa meneruskan tugasan yang
ditinggalkan.
Apabila sudah bercuti, malah ada antara mereka yang mengambil peluang
berurusan dengan pihak swasta yang tetap menjalankan operasi pada hari
Jumaat, sama ada pada pagi atau selepas menunaikan solat Jumaat.
Senario itu dapat dilihat apabila ramai jemaah yang berurusan di
bank-bank kecuali Bank Simpanan Nasional (BSN) yang turut mengambil
keputusan bercuti pada Jumaat dan Sabtu seperti agensi kerajaan.
Keadaan itu juga memudahkan urusan masyarakat kerana tidak perlu
tergesa-gesa atau 'lari' sekejap daripada tugas untuk menyelesaikan
urusan bayaran pinjaman rumah, kereta dan peribadi seperti sebelum ini.
Bagi pekerja swasta, mereka pula boleh berurusan dengan jabatan
kerajaan pada Ahad kerana agensi tersebut beroperasi. Jadi, kedua-dua
pihak iaitu kakitangan kerajaan dan swasta ada 'hari eksklusif' untuk
berurusan dengan pihak yang berkenaan.
Selain itu, apabila Jumaat diumumkan sebagai cuti hujung minggu,
nyata jalan raya utama seperti Jalan Tebrau dan Jalan Skudai yang
menjadi laluan utama orang ramai pergi balik dari kerja agak lengang
daripada biasa. Begitu juga suasana pada Ahad apabila agensi kerajaan
yang beroperasi, tidaklah sesak kerana syarikat swasta pula bercuti.
Dalam pada itu, sektor perniagaan khususnya bidang pelancongan dan
perhotelan turut menerima tempias daripada cuti hujung minggu Jumaat dan
Sabtu kerana hari 'urusniaga' bertambah satu hari lagi iaitu masyarakat
tempatan boleh bercuti dan melancong dalam negeri, manakala Sabtu dan
Ahad bagi orang luar yang berkunjung ke negeri ini.
Jadi, tidak berlaku 'kesesakan' bilik hotel seperti sebelum ini
apabila sering mengalami kekurangan bilik apabila cuti hujung minggu
jatuh pada Sabtu dan Ahad.
Nyata cuti pada Jumaat dan Sabtu memberi banyak manfaat bukan sahaja
kepada rakyat Johor, malah pengunjung luar turut mendapat tempiasnya.
Jadi, mulut-mulut yang kurang bersetuju dengan pertukaran hari cuti
berkenaan sebelum ini sudah 'terkunci' dan Sultan Ibrahim berpandangan
jauh apabila mengumumkan perubahan berkenaan.
Inilah perubahan untuk kebaikan!- utusan