Apabila yang demam bertambah demam
AKU tunggu lebih tiga jam, dengan badan menggigil demam , rasa nak tumbang dan badan semua sakit-sakit, hujung-hujung aku dapat panadol satu papan sahaja dan doktor minta ambil darah pada petang esoknya. Maknanya kena datang baliklah lagi.
Sudahlah tunggu lama, klinik itu pula dah jadi macam taman rekreasi, budak-budak bermain, berlari-lari, menjerit-jerit tetapi emak ayah dia buat tak kisah, leka layan handphone. Tambah sakit orang yang tengah sakit," cerita seorang kawan kepada saya setelah dia pergi ke Klinik Kesihatan di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.Menurutnya, urusan pendaftaran saja sudah ambil masa 45 minit, walaupun ada angka giliran dengan empat kaunter pendaftaran tetapi yang dibuka cuma dua. Masanya pula ketika itu, belum masuk waktu makan tengah hari, pukul 10 pagi. Kalau tiba waktu makan tengah hari mungkin boleh terima alasan dua lagi pergi makan.
Sebab itu, katanya, dia memang lebih suka pergi ke klinik swasta saja apabila demam atau ada sakit-sakit lain. Bagaimanapun, katanya, bila duit tak berapa nak ada terpaksalah juga pergi ke klinik kesihatan.
Sememangnya, cerita-cerita sebegini kita selalu dengar. Menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan akhirnya mendapat satu atau dua jenis ubat yang sebenarnya boleh saja dibeli di kedai serbaneka seperti 7-Eleven atau lain-lain tanpa membazir masa menunggu lama.
Bagi kebanyakan daripada kita yang bekerja dan syarikat menyediakan kemudahan rawatan dan kesihatan di klinik dan hospital berbayar, kita sebenarnya amat bertuah tidak melalui perkara-perkara sebegini.
Tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mempunyai kemudahan itu dan pendapatan mereka pula kecil? Sudah pasti untuk pergi ke klinik swasta, sekurang-kurangnya RM60 diperlukan untuk sesi rawatan termasuk ubat-ubatan untuk demam. Itu belum masuk penyakit-penyakit lain lagi. Mengeluarkan wang sebanyak itu bukanlah mudah bagi mereka.
Kita harus akui bahawa kebanyakan yang mendapatkan rawatan pesakit luar di hospital atau klinik kesihatan kerajaan ini ialah golongan berpendapatan rendah. Mereka ini, ada yang datang dari jauh dengan menaiki kenderaan sendiri, guna pengangkutan awam atau menumpang kereta saudara-mara. Ada yang datang mengendong anak, siap dengan membawa bekal makanan. Apabila tiba di hospital atau klinik kesihatan pula, mereka perlu menunggu lama dan akhirnya setelah diperiksa, tentunya tidak berbaloi segala kepenatan menunggu itu jika hanya diberi pil paracetamol.
Dalam pada itu, mencari tempat letak kenderaan di kawasan hospital dan klinik kesihatan kerajaan ini memang susah. Selalunya mereka terpaksa meletak kenderaan di kawasan yang jauh dari tempat rawatan. Sudahlah tempat letak kenderaan awam terhad, pantang silap parking sikit , sekejap saja tayar kereta kena clamp.
Inilah antara cabaran-cabaran yang pastinya akan menguji tahap kesabaran tetapi terpaksa juga dilayan kerana tidak mampu untuk pergi ke klinik swasta.
Pun begitu, sudah tentunya apabila kita memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan, kita mengharapkan layanan, rawatan dan ubat-ubatan yang diberi adalah yang terbaik. Sebabnya, apa pun yang datangnya daripada kerajaan selalunya adalah yang terbaik. Maknanya dari segi perubatan ini, hospital kerajaan sepatutnya lebih baik dan perkhidmatannya mendahului hospital dan klinik swasta.
Memang tidak dinafikan Kementerian Kesihatan sentiasa memastikan bahawa klinik dan hospital kerajaan ini sentiasa cekap, masa menunggu pun sudah dipendekkan, kakitangannya pun diminta sentiasa mesra pelanggan.
Justeru perkara ini perlulah sentiasa diperingatkan dan dipantau. Memang bukan semua hospital dan klinik kerajaan yang lembab. Di Jabatan Pesakit Luar, Hospital Kuala Lumpur (HKL), kita boleh lihat stafnya bergerak cepat, sudah banyak perubahan, tidak seperti dahulu. Di sana, pesakit boleh berjumpa doktor, periksa darah dan keputusannya boleh dapat dalam masa tidak sampai satu jam. Tidak perlulah datang semula ke hospital hanya untuk diambil darah.
Dalam pada itu, di HKL juga disediakan perkhidmatan bas perantara untuk orang awam ke jabatan-jabatan dalam hospital berkenaan. Ini menunjukkan mutu perkhidmatan di hospital berkenaan sentiasa cuba ditingkatkan.
Tinggal lagi sekarang ini yang perlu dipastikan adalah kecekapan yang sudah tentunya melibatkan sikap kakitangannya. Jika doktor, kita boleh faham bilangannya tidak ramai yang kena mengendalikan ramai pesakit, tetapi takkanlah kelewatan di bahagian pendaftaran pun mahu beri alasan doktor tak cukup.
Dan apabila Malaysia terletak dalam kedudukan ketiga negara terbaik dalam menyediakan penjagaan kesihatan serta paling berpatutan di dunia selepas Perancis dan Uruguay, sepatutnya kenyataan yang amat membanggakan ini selari dengan apa yang dilalui oleh rakyat negara ini dalam mendapatkan perkhidmatan di hospital awam.
Kedudukan itu, menurut kajian laman web pelancongan antarabangsa, International Living, memandangkan negara ini merupakan antara destinasi perubatan pelancongan yang terbaik dan termurah di dunia. Kepakaran perubatan di Malaysia adalah setara atau lebih baik daripada kebanyakan negara Barat.
Kajian itu memberitahu, kos penjagaan kesihatan di negara ini begitu rendah sehingga pesakit boleh membayar daripada poket sendiri untuk banyak prosedur standard.
Hasil kajian ini tentulah menggembirakan kita. Tetapi adakah ia benar-benar memudahkan rakyat di negara ini terutamanya golongan berpendapatan rendah? Saya kira jika semua rintangan itu dapat diatasi, itu lebih baik.- utusan