PADA Ahad ini, 11 Mei 2014 genap tahun ke-68 UMNO ditubuhkan.
Dari segi pencapaian, kewibawaan UMNO memang tidak boleh disangkal di sebalik kegagalan Barisan Nasional (BN) buat kali kedua untuk mendominasi majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum.
Jika diambil daripada kekuatan solo, UMNO masih kekal mendominasi di peringkat Parlimen dengan meraih 3,416,310 undi daripada 120 kerusi yang ditandingi dan parti keramat orang Melayu ini berjaya memenangi 88 daripadanya. BN yang ditunjanginya terus diberi mandat memerintah negara ini apabila memperoleh majoriti mudah 133 kerusi Parlimen pada PRU-13 lalu sementara pakatan pembangkang yang dibarisi PKR, DAP dan Pas hanya meraih 89 kerusi.
Sememangnya besar sungguh cabaran UMNO untuk mengekalkan penguasaannya dan lebih utama lagi mengembalikan semula maruah parti-parti komponennya daripada MCA, MIC dan Gerakan yang sudah tercalar teruk.
Bagi UMNO khususnya, parti itu jangan keterlaluan meyakini angka besar seperti 3.5 juta ahli parti untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 yang dijadual pada 2017 atau 2018. Jangan lupa, ahli DAP, Pas dan PKR tak pun lebih 600,000 secara purata tetapi mereka memenangi nisbah undi popular dua musim pilihan raya berturut-turut.
Bilangan sukarelawan parti dan para profesional mereka lebih daripada UMNO dan BN. Walaupun ahli mereka sedikit, leadership core mereka serba-serbi layak dan berkemampuan. Mereka hormat kepada apa kata akar umbi atau bahagian masing-masing, justeru tak lari daripada dasar winnable candidate atau calon yang boleh menang. BN, lantaran telah melupakan dasar ini terpaksa menerima rekod lebih rendah dari 2003-2009 sekali pun UMNO sendiri menunjukkan kekuatan yang boleh dibanggakan.
Kita boleh melihat kembali sejarah lain. Napoleon Bonaparte hanya dibantu oleh lima orang penasihat strategik. Riwayatnya menampilkan kejayaan menjadi pemimpin yang masih dihormati pada hari ini sekali pun membawa unsur-unsur diktator. Khalid ibnu Walid hanya merancang melalui syura tujuh orang untuk menjadi strategis dan penakluk yang dikagumi.
Meskipun UMNO boleh memanjatkan rasa syukur kerana parti komponen kedua terbesar BN, MCA kini bersedia untuk kembali ke dalam Kabinet atau sebenarnya menyertai kerajaan semula, ahli UMNO jangan lupa andai parti lemah, UMNO tidak dipandang sesiapa pun. Apabila MCA enggan bersama kerajaan (menerima jawatan Kabinet) tempoh hari, ia menampilkan satu-satunya dasar politik parti komponen yang meleset dan tidak menghiraukan sikap setiakawan perjuangan BN.
Beberapa portfolio tradisi seperti kesihatan, pengangkutan, kerajaan tempatan dan lain-lain terpaksa disandang oleh UMNO dan MIC. Pilihan MCA ini merosakkan reputasi MCA di samping keutuhan BN sendiri, sekali gus menampakkan keangkuhan pimpinannya yang tidak kisah terhadap negara, tetapi lebih mementingkan ego politik sendiri.
Tindakan MCA memulaukan Kabinet ini juga tidak menghiraukan nasib masyarakat Cina amnya. Dan secara tidak langsung menggalakkan NGO seperti Dong Zao Dong dan lain-lain pencerca cauvinis melemparkan pelbagai ugutan dan tuduhan.
Tindakannya tak akan akur kepada dasar pelajaran adalah satu-satunya langkah khianat.
Sebab itu UMNO mesti kuat. Kuat dalam erti kata mesti meningkatkan prestasinya selepas pemilihan kepemimpinannya tahun lalu. Memastikan supaya Melayu berani ke depan bersuara dan bertindak demi keutuhan negara.
Setiap ahli yang hendak masuk menjadi anggota mesti ditauliahkan dengan pengertian dan fahaman apa itu UMNO. Perlu diulangi - UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendokong cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa agama dan negara. Apa sejarahnya? Apa yang dicapainya? Apa sumbangan pemimpinnya? Kenapa UMNO boleh survive dan memenangi pilihan raya demi pilihan raya?
Jentera penerangan UMNO Pusat jangan pula syok sendiri sehingga penerangan tentang UMNO itu tidak disejagatkan pengertiannya demi ummah dan masyarakat bangsa atau orang Melayu yang dipimpinnya.
Program Juara Rakyat tahun 2012, latihan Janda Baik, himpunan di Port Dickson - semuanya baik tetapi jika anggota tidak memahami perjuangan UMNO sebenarnya, mereka hanya akan menjadi pemimpin mengejar pangkat dan kedudukan.
Perubahan menyeluruh UMNO sedang berlaku. Pemimpin pengasas UMNO sudah mula menghilang akibat ditelan zaman dan usia. Peringkat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pak Lah, Tengku Razaleigh dan Tan Sri Dr. Rais Yatim sudah amat terhad kepada beberapa orang. Itupun jika mereka masih berkebolehan mengambil bahagian dalam arus perdana politik tanah air.
Saudara-saudari ahli-ahli UMNO lah yang kini perlu menoleh ke belakang dan membentuk pimpinan yang kenal sejarah dan amalan luhur. Bangkitkan perjuangan demi Fasal 3 perlembagaan parti. Pertahankan Perlembagaan Persekutuan, sekurang-kurangnya peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan institusi-institusi asas kenegaraan, kesultanan, bahasa, hak-hak istimewa, Islam, kejuaraan bangsa dan agama.
Jangan lupa pada suatu hari nanti akan ada pihak yang akan meminda Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan yang memberi definisi siapa itu Melayu.
UMNO mesti kuat dan teguh dengan prinsip perjuangannya. Pemimpinnya perlu terus bervisi dengan misi yang utuh.
Kenapa Melayu tidak bersatu dalam perjuangan bangsa-agama dan negara supaya kuasa politik mereka tetap kukuh dan berkuasa? Setiap yang bernama Melayu atau bumiputera - sama ada kita dalam UMNO, Pas atau PKR - harus memikirkan hal ini dan bertindak. Bila kita kuat, orang segan. Bila kita lembut, orang sudu. Mesti pakai falsafah kendur berdenting-berdenting, tegang berjela-jela.
Generasi baharu tidak harus idealis tak tentu keruan. Mereka perlu diperingatkan - ke mana perjuangan orang Melayu hendak dibawa selepas ini?
Pemikiran sempit pihak tertentu terutama pembangkang yang menghasut sebilangan rakyat supaya bencikan UMNO termasuk mengkafirkan sesama Islam mesti diadili oleh suara bangsa dan suara agama.
Perjuangan melandaskan hidup enau dalam belukar perlu diketepikan. Kita Melayu sama Melayu. Kita sunni dan sunni. Bukan sunni dan syiah.
Perjelas budaya Melayu adat bersandarkan syarak dan syarak bersandarkan Kitabullah. Adat bersandarkan yang benar, yang benar tegak dengan sendirinya.
Perjelas Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Perjelas perjuangan tentang berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah.
Sebelum menganggotai UMNO, belajar dahulu apa perjuangan UMNO.
Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-68.utusan