Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika di Muktamar Tahunan Pas kali ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam, November tahun lalu
APABILA Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di atas segala kesilapannya sepanjang 23 tahun mentadbir Kelantan sebagai Menteri Besar, kita memahami ia dilakukan secara ikhlas dari lubuk hatinya.
Dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot dan menganggap ia sebagai kifarat atas dosa yang dilakukan selama memimpin negeri ini, sudah tentulah tiada siapa pun berhak mempertikaikan keikhlasan beliau berbuat demikian.
Sememangnya, sejarah politik negara pasti akan mencatatkan perjalanan hebat Nik Abdul Aziz yang sejak 1967 mengabdikan dirinya dalam perjuangan Pas. Beliau bukan sahaja menjadi Menteri Besar Kelantan paling lama dalam sejarah iaitu bermula 1990 hingga 2013 tetapi juga Mursyidul Am Pas paling kontroversi.
Nik Abdul Aziz satu ketika dianggap simbol kekuatan Pas bukan sahaja di Kelantan malah seluruh negara. Walaupun sering mengalami masalah kesihatan namun demi perjuangan Pas, Nik Abdul Aziz menguatkan diri untuk terus bertanding dalam pilihan raya sehingga beliau membuat keputusan berundur dari kerusi Menteri Besar Kelantan biar pun memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Chempaka.
Mungkin dalam kesempatan berehat tanpa diganggu dengan bebanan tugas memimpin negeri dan parti, Nik Abdul Aziz mempunyai lebih banyak lagi ruang untuk bermuhasabah sehinggalah beliau muncul kelmarin pada majlis kuliah subuh di Kota Bharu untuk menzahirkan permohonan maafnya.
Justeru kita tidak perlu mempolitikkan apatah lagi memandang serong keikhlasan Nik Abdul Aziz berbuat demikian. Sebagai hamba Allah bukan hak kita untuk menghakimi apatah lagi menilai niat seseorang sebaliknya terimalah permohonan maaf Nik Abdul Aziz dengan hati dan fikiran terbuka. Apa pun kita kata kepada Nik Abdul Aziz, beliau tetap mempunyai jasa kepada negara ini.
Kita tidak harus mengikut jejak sesetengah pengikut-pengikut pembangkang yang taksub sehinggakan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan hatta permohonan maaf daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pun dipandang serong.
Kelompok seumpama ini sudah ditutup mata dan pemikiran mereka dengan politik kebencian dan kepartian melampau sehinggakan apa juga yang dilakukan oleh musuh politik mereka biar pun benar tetap ditolak.
Janganlah kita tergolong dalam kelompok seumpama itu kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam dan hanya akan menyebabkan umat Islam menjadi semakin lemah akibat berpecah belah kerana politik.
Memanglah kalau hendak diikuti pemikiran dan hati yang digoda oleh nafsu politik boleh sahaja kita menolak atau mempertikaikan permohonan maaf Nik Abdul Aziz. Apatah lagi, sepanjang karier politiknya terlalu banyak kenyataan kontroversi yang beliau buat sehingga kadang kala cukup menyinggung perasaan.
Nik Abdul Aziz pernah menolak usaha untuk mewujudkan perpaduan antara UMNO dan Pas, Nik Abdul Aziz pernah memohon doa pecah perut untuk Perdana Menteri, Nik Abdul Aziz pernah menyifatkan Islam yang dibawa oleh UMNO adalah Islam plastik, Nik Abdul Aziz pernah berkata, Pas bersedia berkawan dengan syaitan dan Nik Abdul Aziz juga pernah berkata, tidak bangga menjadi orang Melayu.
Tetapi semua itu beliau kata atau lafazkan ketika berada di kemuncak karier politiknya, biar pun dilihat bertentangan dengan ajaran Islam tetapi kadang kala pertimbangan politik boleh menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan.
Begitulah juga Nik Abdul Aziz, sebagai orang politik dan menjadi pemimpin dalam sebuah parti yang bertentangan dengan parti memerintah sudah tentulah beliau mempunyai pendirian sendiri.
Penulis yang berkesempatan bertemu dengan beliau beberapa kali amat memahami kadang kala, Nik Abdul Aziz berhujah sebagai orang politik bukan `tok guru mahupun ulama.
Namun kini semua itu sudah menjadi sejarah politik negara, Nik Abdul Aziz sekarang bukanlah Nik Abdul Aziz dahulu, Nik Abdul Aziz sekarang sedang mengalami keuzuran kerana masalah kesihatan, berulang alik ke hospital setiap masa dan sudah tidak ada masa lagi untuk memikirkan soal politik.
Berikutan keadaan itu adalah tidak wajar sama sekali jika ada mana-mana pihak masih mahu terus membenci beliau dengan mengungkit kesilapan yang beliau lakukan sepanjang menjadi Menteri Besar Kelantan atau Mursyidul Am Pas.
Persoalannya, siapakah ahli politik yang tidak melakukan kesilapan? Siapakah ahli politik yang tidak melakukan dosa?
Sepatutnya, apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz harus dipuji dan dicontohi kerana tidak ramai ahli politik seperti beliau bersedia memohon maaf secara terbuka.
Apa yang kerap kita saksikan ialah ada ahli politik terus mahu bersandiwara, menafikan segala perbuatannya biar pun ada bukti dan terus melakukan tohmahan kepada kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO terhadap apa jua yang berlaku kepada dirinya.
Tetapi Nik Abdul Aziz mengambil kesempatan daripada ruang yang masih diberikan oleh Allah SWT bukan sahaja untuk mengemukakan permohonan maaf tetapi juga menganggap sakit yang dialami "mungkin Allah nak kifarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan.
Soalnya, adakah selepas ini akan wujud ahli politik yang akan mencontohi apa yang Nik Abdul Aziz lakukan khususnya daripada Pas sendiri? Sukar untuk dipastikan tetapi apa yang nyata Nik Abdul Aziz melakukannya dengan ikhlas dan penuh keinsafan.
Justeru adalah tidak wajar jika niat ikhlas beliau dipandang serong apatah lagi disusuli dengan kecaman kerana selagi kita bernama manusia dan selagi kita bergelar hamba Allah selagi itulah kita sentiasa terdedah untuk melakukan kesilapan dan kesalahan sama ada kita sedar atau tidak.
Apa yang penting ialah sejauh manakah kita berkemampuan atau berkesempatan untuk memohon maaf atas apa yang kita lakukan.
Oleh itu, semua pihak khususnya lawan politik beliau perlu berjiwa besar untuk memaafkan Nik Abdul Aziz. Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT seperti mana firman-Nya dalam surah asy-Syura ayat 40 yang bermaksud;
"Maka barang siapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya atas tanggungan Allah."
Dan Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 263 yang bermaksud:
"Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyabar."
Mahu tidak mahu, siapa pun Nik Abdul Aziz, sehebat mana pun beliau sebelum ini dalam dunia politik dan sejauh manapun berlaku pertembungan dengan musuh politiknya daripada UMNO, akhirnya kita tetap saudara sesama Islam.
Sebagai Islam, kita harus berdoa agar Allah akan memberi ketabahan kepada Nik Abdul Aziz dalam menghadapi ujian-Nya berikutan sakit yang dialami dan semoga Allah memberikan kesejahteraan kepada beliau di dunia dan akhirat.
Jangan biarkan perbezaan politik menjadi virus yang menghapuskan dan melunturkan semangat persaudaraan Islam sesama kita. Oleh itu, terimalah permohonan maaf Nik Abdul Aziz - utusan