Sunday, March 16, 2014

Demokrasi, hudud ikut selera pembangkang

Kerana tak puas hati, penyokong diajak ke jalan raya 

Mengikut laporan Harakah terbaharu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz yakin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan jika kesnya di dengar oleh mahkamah yang melaksanakan hudud. Berdasarkan twitter Nik Abduh pada 7 Mac, Harakah melaporkan, menurut hudud, mahkamah akan sukar untuk menghukum Anwar. Nik Abduh, yang juga ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, juga memberi amaran bahawa penzalim (mangsa liwat yang membuat dakwaan ke atas Anwar atau hakim yang menjatuhkan hukuman?) akan diburu di dunia dan di akhirat. Cara cakap Nik Abduh ini lebih kurang bapanya yang pernah menafikan bahawa orang yang dirakam dalam satu video seks bukan Anwar walaupun tidak menontonnya. 

Inilah sebenarnya yang membimbangkan orang ramai apabila pemimpin PAS bercakap pasal hudud. Mereka bercakap seolah-olah hudud itu hak peribadi mereka – boleh menghukum atau buang kes begitu saja tanpa mendengar hujah atau melihat bukti. Ini mengingatkan kita kepada pengalaman Ustaz Saidi Husin, Ketua Keselamatan PAS Semerak, yang mengaku pernah menangkap seorang wakil rakyat PAS berzina dengan isteri orang pada 2010 atas aduan suami wanita berkenaan. Atas dasar tanggungjawab, beliau membawa mereka berjumpa Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat. 



“Ambo nak tengok macam mana Tok Guru jatuhkan hukuman hudud ke atas penzina. Masa ambo tangkap lelaki itu pakai seluar dalam, wanita itu bertuala. Tok Guru suruh ambo balik dulu dan mari pulok esok pagi. Dia kata dia nak solat istiqarah dulu. Bilo ambo pergi pulok esok paginya, Nik Aziz jawab Allah sudah maafkan penzina itu!,” katanya dalam satu ceramah. 

Hilang keyakinan terhadap PAS 

Terkejut dengan jawapan Nik Aziz dan kecewa dengan cara hudud dilaksanakan sebegitu mudah, beliau tidak lagi percaya kepada PAS dan keluar parti itu. Walaupun wakil rakyat PAS itu menafikan pembabitannya dan minta bukti dikemukakan, beliau tidak pula menyaman Ustaz Saidi yang membuat dakwaan itu. 
Jika benar kata Nik Abduh bahawa Anwar akan terlepas jika diadili secara hudud, bagaimana dengan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang bersumpah dia diliwat Anwar? Bentuk keadilan yang macam mana boleh diharapkan oleh beliau sebagai mangsa di bawah hudud? Adakah pelaku jenayah seks seperti perogol dan peliwat mempunyai kelebihan berbanding mangsa di bawah hukum hudud? 

Sikap penyokong Anwar dan parti pembangkang ialah marah kepada hakim dan mahkamah, Nik Abduh dan penyokong Anwar harus terima hakikat bahawa dalam kes ini, Anwar diwakili barisan peguam terhebat di Malaysia yang diketuai Karpal Singh. Kedua-dua pihak, plaintif dan defendan berentap dalam mahkamah terbuka, diperhati pengamal perundangan dan media seluruh dunia. Ia berjalan secara telus sejak 2008. 

Tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar kes ini membuat keputusan berdasarkan segala hujah, keterangan dan bukti nyata yang dikemukakan. Tidak seperti cara Nik Aziz atau Nik Abduh, hakim tidak boleh membuat keputusan berdasarkan firasat, sentimen, emosi, spekulasi atau keahlian parti politik seseorang. 

Apakah salah hakim menghukum pesalah yang terbukti membuat salah? Apakah integriti mahkamah pada mereka bermakna mesti menang semua kes? Adil atau naifkah mereka apabila mempunyai jangkaan sebegitu bagi semua kes yang membabitkan pemimpin mereka? Jika begitu, apa guna hakim dan mahkamah? 

Lepas geram kepada UMNO 

Mereka juga tujukan kemarahan kepada UMNO dan Barisan Nasional. Padahal kes ini membabitkan dua individu, seorang pemimpin meliwat pembantunya. Tidak ada kena mengena dengan parti atau kerajaan. Jika pemimpin itu tidak meliwat, tentu tidak ada kes. Pemimpin pembangkang selalu bercakap pasal demokrasi, konsep separation of powers’ dan rule of law. 

Namun, kerana tidak setuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan, mereka mendesak penyokong untuk berdemonstrasi di jalanan. Ada juga pemimpin mereka yang mengisytiharkan perang. Mereka patut baca rencana The Economist (1-7 Mac 2014) bertajuk: What’s Gone Wrong With Democracy? 

Memberi beberapa contoh gerakan reformasi yang kononnya prodemokrasi di Mesir, Ukraine, Bangladesh dan Thailand, ia merumuskan bahawa semua kumpulan protes yang menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat gagal mewujudkan kerajaan demokratik yang mereka laung-laungkan. 

“(They) have mostly failed to create viable democratic regimes. Disillusion with politics is rife (and) democracy often advances only to collapse. This has dispelled the once-popular notion that democracy will blossom rapidly and spontaneously once the seed is planted. This encourages extremism, because politicians have to appeal only to the party faithful, and in effect disenfranchises large numbers of voters.” - bharian