Thursday, December 11, 2014

UMNO Berani Atau Pengecut...? Artikel Menarik

UMNO HARUS BERANI
Oleh AHMAD FARIS ABDUL HALIM

ADA impak tersendiri hasil Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang berakhir 29 November lalu.
Bagi pakatan pembangkang, mereka gusar. Mereka tahu dan sedar bahawa perhimpunan agung UMNO memberikan impak yang hebat kepada orang Melayu dan juga rakyat di negara ini.
Namun keseluruhannya para perwakilan yang sempat penulis bersembang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur minggu lepas, mengakui cukup memahami kehendak terkini pucuk pimpinan parti. Perwakilan juga nampaknya memperoleh tekad baharu dalam menggerakkan UMNO dengan suntikan gendang perang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dilancarkan pemimpin  tertinggi parti.
Ingatlah, PRU-14 akan menjadi ibu kepada segala pilihan raya menggantikan PRU-13 yang pernah juga digelar sebegitu rupa! Semua jentera parti komponen Barisan Nasional perlu memberi   iltizam 100% membantu UMNO yang menunjangi mereka untuk mendepani cabaran getir mendatang.
Dalam hal ini, UMNO tidak harus terlalu mudah mohon maaf atau bersikap apologetik atas nama perjuangan atau semasa menegakkan yang hakiki. Fakta bahawa negara ini adalah asalnya negeri Melayu tetapi dikongsi pentadbirannya dengan warga bukan Melayu, maka ini perlu penegasan dan penerimaan.
Demikianlah juga dengan pendidikan nasional yang seharusnya berasas kepada beberapa prinsip antaranya hak Raja-Raja, hak peribumi, bahasa dan budaya Melayu di samping menyatakan hak sah kaum lain diterima. Jika Dong Zong  membuat bingar, UMNO mesti berani bersatu dengan seluruh orang Melayu, menempelak mereka.
Jika pengguna Internet mendurhakai Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja di negara ini, seret mereka untuk didakwa cepat dan berkesan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mesti dianggotai kalangan mereka yang memiliki kenegaraan yang kuat.  Sementelahan itu, menteri terlibat, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek harus membuat tindakan drastik meletakkan golongan yang mempunyai karisma serta kenegaraan dalam SKMM bagi menyelesaikan pelbagai bentuk fitnah dan penghinaan yang berlaku dalam media sosial sejak 2008 lagi.
Pada masa sama, team siber kerajaan/UMNO  perlu dirombak. Ini adalah ekoran pasukan ini yang berpangkalan di Putrajaya dan JASA sudah ketinggalan zaman dalam dunia teknologi maklumat (IT). Pasukan siber kerajaan/UMNO ini lebih kelihatan untuk mempunyai agenda peribadi seperti mana dibangkitkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung parti yang berakhir 29 November lalu.
“Jangan  'attack' sesama sendiri, jangan bunuh sesama sendiri, jangan sorong belakang sama sendiri. Gunakan kekuatan siber untuk kuatkan UMNO, bukan jatuhkan kawan-kawan. "Untuk roh itu, kita sediakan Keris 2314 sebagai program pertarbiyahan dan pengkaderan. Ini akan  mewujudkan jil UMNO yang akan terlahir UMNO yang dapat meremajakan parti kita,” katanya.
Ahmad Zahid merujuk angka 2314  - 23 ertinya, kalau kerja keras, BN akan mendapat 2/3 majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sementara 14 pula maksudnya - PRU ke-14.
UMNO mesti berani. Jika ada yang mengkhianati dasar pelajaran negara, UMNO harus ke depan dan  bertindak bagi orang Melayu dan Bumiputera. Pemimpin UMNO tak harus lembik, takut-takut atau teragak-agak apabila berdepan dengan sebarang pencabulan hak asasi kaum. Perimbangan kuasa ini perlu diterima oleh orang Melayu dan Bumiputera serta kaum-kaum lain di Malaysia. UMNO mesti hidupkan budaya `berundang-undang mahir, berbicara juga mesti mahir dan menang’.
UMNO harus berani. Kalau perlu dirombak barisan kepimpinan UMNO Selangor demi memastikan negeri terkaya di Malaysia itu kembali ke pangkuan parti setelah terlepas dua kali - buatlah, segerakanlah. Hakikatnya, sudah menjadi rahsia umum percakaran sesama peringkat atasan UMNO Selangor yang nampaknya mengulangi senario kemelut hubungan antara timbalan pengerusi perhubungan dan koordinator negeri tahun lalu.  
Politik UMNO Selangor kini maklum pengerusi perhubungan sedia ada juga `tidak ngam’  dengan timbalannya, sementara setiausaha parti negeri pula dikatakan
tidak sehaluan dengan ketua penerangannya. Kalau pengerusi perhubungan buat program, timbalan tidak nampak kelibatnya. Jika setiausaha hadir program, ketua penerangan sebaliknya.
Kalau benarlah mahu sahut seruan Presiden parti semasa merasmikan Konvensyen UMNO Selangor baru-baru ini dalam konteks peremajaan UMNO, pemimpin -pemimpin seperti inilah yang sepatutnya melangkah sukarela berundur.
Andaikata pula jika UMNO Selangor pada pilihan raya umum akan datang hendak membawa orang muda, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim mungkin jawapannya. Umur baru menjangkau 36 tahun. Juga, seorang yang kreatif dan tidak berjawatan dalam parti sebelum dipilih calon. Namun, sudah mendapat gelaran `giant killer’ menumbangkan orang kuat Pas, Dr. Zul (Dr. Dzulkefly Ahmad) dalam PRU-13.
Dalam soal ini jangan dipertikaikan pula penangan kewibawaan orang muda. Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo contohnya hanya berusia 35 tahun ketika dilantik Menteri Besar Selangor pada 2000. Contoh lebih dekat ialah Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan  timbalan menteri paling muda apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Kemudian, pada 1982 menjadi Menteri Besar paling muda di Pahang dalam sejarah negara ketika berumur 29 tahun.   
UMNO harus jangan silu-segan mempelopori keutamaan perjuangannya. Bagaimana dilaung, begitulah diamalkan.
Fasal 3 Perlembagaan UMNO jangan diabaikan. Jika agenda ini disambil lewakan atau berasa segan untuk dijayakan, lantaran takut apa orang lain kata, kelak identiti perjuangan Melayu akan berpaling kepada  tahap takut dan teragak-agak. Justeru,  fakta politik bilangan (politics of number) mesti dijuarakan. Iaitu dengan kekuatan 60 peratus Melayu-Bumiputera di negara ini, di samping menghormati hak semua pihak, UMNO jangan takut memperjuang dan mengekalkan apa yang hakiki bagi Melayu.

Barangkali, sebagai contoh buat apalah UMNO terkejar-kejar untuk meraih sokongan  2,000 undi Cina berbanding merebut kembali 3,000 undi Melayu yang beralih ke pihak sana pada PRU-13?  
Masyarakat bukan Melayu amat teguh budaya bangsa mereka sehingga memegang hampir 68 peratus kekayaan negara ini. Namun sebilangan mereka bebas mengatakan pelbagai cercaan dan penafian, konon mereka disisih didiskriminasi, seolah-olah mereka menjadi warga nombor dua atau nombor tiga. Walhal, kita mengetahui Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamatarafan semua warga Malaysia.
UMNO mesti berani.
 Meminjam sekali lagi kata-kata Dr Ahmad Zahid:  “(Cuma UMNO) Jangan menyerang sesama sendiri sebab peluru itu akan digunakan oleh musuh untuk menyerang kita sehingga akhirnya ahli kita sendiri akan tewas.”
 “Sekarang yang menjadi ketua kita Presiden, maka harus mendokongnya. Selepas itu ada Timbalan Presiden, jangan buat spekulasi dan mempersiapkan diri untuk mengambil alih sesiapa pun.”

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM
penganalisis isu-isu semasa

Monday, August 18, 2014

Dr M Tegur Najib

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui terpaksa menarik balik sokongan yang diberikan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau merasakan cara pentadbiran Najib lebih buruk prestasinya daripada Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Selain menarik balik sokongan, Dr Mahathir juga berasakan beliau perlu menegus cara Najib yang dlihat tidak mengambil iktibar daripada prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lepas.
“Saya tidak ada pilihan selain menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur,” kata Dr Mahathir melalui tulisan di blognya, www.chedet.cc.
Menurut beliau yang juga Perdana Menteri paling lama berkhidmat sebelum ini, harapan beliau ialah Najib akan berubah dan mengambil pengajaran daripada pencapaian dalam pilihan raya itu.
Malangnya, sehingga kini masih belum terlihat dengan jelas apa perubahan positif dari sedgi dasar.
“Harapan saya Najib akan mengambil ikhtibar daripada prestasinya yang buruk dalam PRU13. Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan daripada segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Najib,” katanya.

CheDet_1CheDet_2
Dr Mahathir berkata, beliau tidak menyangka prestasi perdana menteri dalam PRU13 akan menjadi lebih buruk daripada Abdullah dalam PRU12 pada 2008.
“Pilihan saya bagi mengganti Abdullah ialah Najib. Setelah beberapa lama dilihat dasar dan tindakan Najib tidak lebih berkesan daripada Abdullah.
“Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara,” katanya.
CheDet_3CheDet_4
Menurut beliau, kelemahan pentadbiran Perdana Menteri kini sedikit sebanyak juga adalah disebabkan penyokong kerajaan yang tidak pernah menegur pemimpin mereka.
“Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau Datuk Seri Abdullah dan difitnah ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.
“Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya,” katanya.
Beliau berkata, kesalahan pertama Najib adalah apabila beliau melayan tuntutan musuh.
“Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang buang daerah dimansuh. Tindakan ini tidak sedikit pun mengurangkan tentangan parti lawan.
“Sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua geng,” katanya.
CheDet_5CheDet_6
Dr Mahathir juga tidak berpuas hati dengan sikap pentadbiran Najib yang dilihat terlalu tunduk kepada negara-negara jiran.
“Wang kerajaan diguna untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila pilihan raya umum diadakan.
“Ini menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada kerajaan untuk segala-galanya,” katanya. – –Mynewshub.my, 18 Ogos 2014

Tuesday, July 29, 2014

UMNO perlukan Melayu sedangkan Melayu ada pilihan lain..

Lokasi : Ballroom Menara Felda, Kuala Lumpur
Acara : Iftar Ramadan
Tarikh : 3/7/2014
Tindak tanduk kurang ajar yang menjadi jadi sejak kebelakangan ini oleh bangsa lain terhadap orang Melayu, agama Islam dan Institusi DiRaja adalah berpunca dari sikap Melayu itu sendiri yang berpecah dari segi politik. UMNO yang menjadi tunjang siasah politik orang Melayu perlu melakukan perubahan bagi menunjukkan bahawa mereka memerlukan sokongan orang Melayu untuk meneruskan agenda mereka dan bukan nya orang Melayu yang memerlukan mereka bagi mencapai cita-cita orang Melayu. Fikir-fikir kan lah.. jinggo

Thursday, July 24, 2014

BEKAS KETUA HAKIM NEGARA BELASAH PAS YANG KECUT TELUR PERTAHANKAN ISLAM TETAPI KUAT BELA GUAN ENG!!!

Tun Abdul Hamid Mohamad

Berikut teks penuh ucapan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada Majlis Wacana Islam dan Cabaran Semasa sempena  Majlis Berbuka Puasa NGO-NGO Islam.
Semenanjung Tanah Melayu telah dijajah daripada orang Melayu. Yang menentangnya, baik Dato Bahaman, Dato Sagor, Dato Maharaja Lela, Dol Said, Tok Janggut atau Rusli Dhobi, adalah orang Melayu. Yang menentang Malayan Union adalah orang Melayu. Yang berkorban nyawa menentang pengganas Komunis semasa darurat adalah orang Melayu. Yang menuntut kemerdekaan adalah orang Melayu. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka melihat ia akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka. Pada masa itu pun tujuan mereka sudah berlainan.
Logiknya, Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah daripada orang Melayu hendaklah dipulangkan kepada orang Melayu. Tetapi tidak, orang Melayu diminta berkongsi kuasa yang akan diserah balik oleh penjajah British. Pada masa itu pun orang Melayu telah diminta mengorbankan hak mereka “untuk menjaga perpaduan”. Orang Melayu bersetuju, sehinggakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1955, untuk memberi lebih banyak representasi kepada orang bukan Melayu, kawasan-kawasan majoriti Melayu diberikan kepada calon-calon bukan Melayu untuk bertanding. Keadaan ini berterusan demi untuk memastikan kemenangan pemimpin-pemimpin utama bukan Melayu, sehinggalah PRU 12 apabila kemenangan UMNO sendiri dalam kawasan majoriti Melayu sudah tidak terjamin.
Semasa rundingan kemerdekaan, PAS menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi menjaga hak keistimewaan orang Melayu. Semasa Malaysia hendak ditubuhkan PAS menentangnya kerana ia akan mengurangkan peratusan orang Melayu dan takut kiranya orang Melayu akan hilang kuasa politik dan dengan itu kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan tergugat. Malah, selama beberapa dekat PAS senentiasa mengkritik UMNO kerana “tak cukup Melayu dan tak cukup Islam”. Begitu prihatin PAS terhadap nasib bangsa Melayu dan agama Islam pada masa itu.
Semasa rundingan kemerdekaan juga, Parti Boroh Malaya menuntut supaya ditubuhkan kerajaan unitari kerana, mengikut mereka, mengekalkan Sultan-Sultan dan Negeri-Negeri Melayu akan mewujudkan sebuah kerajaan beraja. Dalam kata- kata lain mereka hendak menghapuskan sistem beraja di Malaya. Siapakah majoriti ahli-ahli Parti Boroh? Tidakkah tuan-tuan terhidu bau yang serupa sekarang?
Parti Komunis Malaya mengangkat senjata untuk menubuhkan kerajaan komunis ala-China. Beberapa orang pemimpin parti-parti kiri Melayu lari ke hutan dan menyertai Parti Komunis Malaya kerana takut ditangkap British. Mereka diperalatkan oleh Chin Peng untuk mempengaruhi orang Melayu menyokong perjuangan mereka. Nasib baik, pada masa itu orang Melayu tidak terpengaruh degan mereka. Soalan: Tidakkah orang Melayu ternampak perancangan yang serupa sekarang oleh “komunis bandar” meminjam istilah Tan Sri Rahim Noor, mantan Ketua Polis Negara?
Biar apa pun, akhirnya peruntukan-peruntukan Perlembagaan dipersetujui dan ia menjadi undang-undang utama kita. Pada detik 12.00 tengah malam Semenanjung Tanah Melayu pun merdeka. Orang-orang yang sebaya dengan saya masih terdengar pekikan “Merdeka” itu dengan perasaan penuh semangat dan kegembiraan.
Tetapi, pada detik yang sama, satu perkara berlaku, yang kita tidak sedar. Ini digambarkan dengan jelas oleh Professor Shad Saleem Farouqi dalam bukunya yang bertajuk “Document of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia” di muka surat 710. Katanya:
“As a result of the “social contract” between the various races, millions of migrants to British Malaya were bestowed with citizenship by the Merdeka Constitution. It is believed that the number of citizens in Malaya doubled at the stroke of midnight on August 31, 1957 due to the constitutional grant.”
“Akibat “kontrak sosial” di antara berbagai-bagai kaum, berjuta-juta pendatang ke Malaya yang diperintah oleh British itu diberi kerakyatan oleh Perlembagaan Merdeka. Adalah dipercayai bahawa jumlah warga negara Malaya bertambah sekali ganda pada detik tengah malam 31 Ogos 1957 disebabkan oleh pemberian Perlembagaan itu.” (Terjemahan saya).
Pada 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Kedudukan anak negeri Sabah dan Sarawak hampir serupa dengan kedudukan orang Melayu di Semenanjung. Maka peruntukan yang serupa dibuat untuk mereka – lihat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Semenjak Merdeka hinggalah sekarang, Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh sekumpulan parti berbagai-bagai bangsa dengan seorang Melayu sebagai Perdana Menterinya. Biar apa pun kelemahan mereka, negara berada dalam keadaan aman, tenteram membolehkannya maju dalam semua bidang dan dinikmati oleh semua orang dan semua kaum. Mana sebuah kaum yang boleh berkata bahawa mereka tidak menikmati kemakmuran Malaysia walau sedikit pun? Negara kita adalah di antara beberapa buah negara sahaja dalam dunia ini yang Perlembagaan asalnya masih berkuat kuasa. Malah Malaysia disifatkan sebagai model negara membangun dan negara Islam moden.
Jika kaum minoriti hendak ‘complain’ mengenai kebebasan mereka, tunjukkan kepada saya sebuah negara yang memberi lebih banyak hak kepada kaum minoriti. Apa jadi kepada orang Islam Rohingya di Myanmar? Di negeri-negeri jiran, nama mereka pun perlu diubah. Tunjukkan kepada saya sebuah negara yang bukan sahaja membenarkan sekolah-sekolah vernakular diadakan, malah membiayainya. Dari segi kebebasan beragama, pernahkah Kerajaan menghalang mereka daripada mengamalkan agama mereka. Pernahkah terfikir oleh mereka bagaimana mudahnya mereka membina rumah-rumah ibadat mereka di Malaysia, termasuk di atas tanah Kerajaan tanpa sebarang tindakan, diberi bantuan kewangan dan tanah gantian apabila dikehendaki pindah? Bandingkan dengan halangan yang di hadapi oleh orang Islam untuk membuat sebuah masjid di Eropah atau Amerika Syarikat.
Kecuali seketika di sekitar tahun 1969, keadaan bertahan selama lebih kurang 50 tahun. Ia disebabkan Kerajaan Persekutuan kukuh, pemimpin-pemimpin yang tegas dan ekonomi yang senentiasa berkembang. Kerajaan Persekutuan kuat sebab ia menerima sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang mencukupi, walau pun lebih banyak orang Cina senentiasa menyebelahi pembangkang. Mereka mahu lebih. Itu sahaja sebabnya. Dan mereka menuduh orang Melayu “tamak” kerana hendak mencapai 30% ekonomi negara! Bagaimana dengan mereka yang sudah mempunyai 80% tetapi mahu lebih? Mungkin itu “dermawan” mengikut istilah mereka. Anehnya ada juga orang Melayu yang mempercayainya.
Tetapi, keadaan berubah di kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah kerana leka dengan sedikit kemakmuran yang baru dirasai, ketaksuban kepada parti dan pemimpin dan kehadiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong yang oportunis yang tidak kira apa yang akan terjadi kepada bangsa, negara dan agama asalkan cita-cita mereka tercapai. Maka orang Melayu berpecah dengan seriusnya. Kumpulan pengundi majoriti menjadi minoriti. Kumpulan minoriti memperalatkan sebahagian pengundi Melayu untuk kepentingan mereka dan orang Melayu tidak sedar.
Melihat keadaan itu, kumpulan-kumpulan yang memang pandai mengira untung-rugi, terus mengatur perancangan mereka. Mereka membuat perancangan teratur untuk merampas kuasa melalui peti undi, dengan bersatu padu sesama sendiri sambil memperalatkan parti-parti Melayu dan orang Melayu yang naif itu. Mereka hampir berjaya.
Sambil itu kumpulan-kumpulan ekstremis mula membuat tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan, menyerang hak-hak orang Melayu, menghina lagu Kebangsaan, menghina bendera Malaysia, menghina Institusi Raja-Raja, menghina pemimpin-pemimpin Melayu dan menghina agama Islam. Ketiadaan tindakan tegas terhadap mereka dilihat oleh mereka sebagai tanda kelemahan dan mereka menuntut lebih lagi.
Pendekatan mereka adalah bersifat ugutan dan bisnes: jika mahu perpaduan berikan kami hak yang sama dan kebebasan sepenuhnya. Dalam kata-kata lain, mereka mahu faedah yang diberikan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dihapuskan. Ertinya, mereka mahu perizaban kadar dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, keistimewaan pendidikan dan latihan, permit, lesen dan sebagainya dihapuskan. Semua mesti diberi atas dasar merit. Mereka tahu mereka menguasai ekonomi dan berada di hadapan dalam bidang pelajaran. Mereka tinggal di bandar-bandar besar di mana terdapat semua kemudahan dan exposure. Apabila pemilihan cuma dibuat berdasarkan kelulusan akademik, merekalah yang akan membolotnya. Tak cukup dengan itu, mereka mahu UiTM juga dibuka kepada mereka!
Rata-rata orang bukan Islam di Malaysia tidak senang dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mereka mahu agama-agama mereka juga diberi kedudukan yang sama. Mengikut mantan Mufti Pulau Pinang, di Pulau Pinang telah berlaku satu peristiwa di mana di perasmian sebuah bangunan oleh Timbalan Ketua Menteri, doa dibacakan oleh seorang Paderi Kristian, seorang Sami Hindu dan Imam Masjid Negeri. Saya amat hairan mengapa Imam Besar pun turut menyertainya. Tidakkah beliau berfikir?
Saya amat sedih melihat orang Melayu dan Islam begitu naif sehingga mereka begitu mudah diperalatkan sehingga sanggup bertakbir dan bergolek di atas jalan raya sedangkan orang bukan Islam yang untung.
Saya juga hairan mengapa ada orang-orang yang dikenali sebagai ulama’ tidak nampak muslihat gereja Roman Katolik yang hendak memakai kalimah “Allah” dalam Bible Bahasa Melayu dan upacara gereja dalam Bahasa Melayu selepas 500 tahun kecewa mengkristiankan orang Melayu secara besar-besaran. Mereka merujuk kepada penggunaan kalimah Allah di bumi Arab tanpa menganalisis berbezaannya. Kita perlu lihat isu itu dalam konteks Malaysia.
Hinggakan, apabila sami Buddha mengadakan upacara sembahyang di surau di sebuah hotel pun, ada “ilmuwan Syariah” yang mengatakan Rasul Allah pernah membenarkan orang Kristian bersembahyang dalam masjid. Tidakkah mereka nampak perbezaannya?
Kisah itu melibatkan ahlil-kitab yang beriman dengan Allah dan di peringkat awal kerasulan Muhammad s.a.w. dan cara mereka bersembahyang pun tidak mencemarkan kesucian masjid. Jika dibenarkan penganut-penganut agama yang ada di Malaysia bersembahyang dalam masjid, apa akan jadi? Bukan sahaja masjid akan busuk dengan bau gaharu, babi panggang pun akan dibawa masuk ke masjid, sebab di bulan hantu lapar “offering” kepada hantu lapar adalah sebahagian daripada upacara sembahyang mereka.
Mantan Mufti Pulau Pinang juga memberitahu saya adalah susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin-pemimpin agama-agama lain juga menuntut hak yang sama. Jika kita tidak membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia. Pada waktu itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan agama Islam di televisyen pun akan terpaksa dikongsi dengan agama-agama lain. Jabatan-jabatan Kerajaan dan kampus-kampus universiti kerajaan yang menyediakan surau akan terpaksa menyediakan gereja, to’kong-to’kong dan gurdwara, memberi hanya dua misalan. Ertinya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi. Peruntukan agama Islam sebagai agama Persekutuan mungkin dimansuhkan atau kesemua agama akan dijadikan agama Persekutuan. Tidakkah orang Islam berfikir?
Kumpulan ini sangat tidak puas hati dengan peruntukan Perlembagaan yang tidak membenarkan orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Selain dari itu, mereka pergi ke merata dunia untuk memburukkan Islam kerana Islam tidak membenarkan penganutnya murtad, kerana Islam membolehkan poligami, kerana Islam mengharamkan liwat, membuat tuduhan Islam mendiskriminasikan orang perempuan kerana pembahagian pusaka yang tidak sama rata dan lain-lain. Soalan saya: Mengapa mereka membantah hal-hal mengenai agama Islam pada hal kita tidak pernah membantah mereka membakar kereta kertas, duit neraka (hell money) atau mencucuk pipi mereka dengan besi dan lain-lain.
Mereka juga tidak puas hati dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Mereka mahu Bahasa mereka juga diberi kedudukan yang sama. Ke mana perginya “kontrak sosial”?
Ringkasnya mereka mahukan atau mahu menghapuskan apa yang ada pada orang Melayu tetapi mereka tidak mahu melepaskan apa yang ada pada mereka. Sanggupkah syarat kerakyatan dikaji semula? Sanggupkah syarikat-syarikat milik mereka dibuka kepada orang Melayu, baik sebagai pemilik saham, ahli Lembaga atau pengurusan atasan?
Kumpulan itu menjadi lebih berani kerana:
1. Mereka telah melihat orang Melayu berpecah-belah. Kumpulan majoriti telah menjadi minoriti.
2. Mereka telah berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin parti-parti orang Melayu untuk bekerjasama dengan mereka.
3. Mereka telah berjaya memanfaatkan pengundi Melayu yang menentang BN yang tidak sedar bahawa mereka diperalatkan.
4. Ketiadaan tindakan terhadap mereka dilihat sebagai kelemahan Kerajaan.
5. Pemansuhan Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan pengumuman bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan dilihat sebagai satu kemenangan mereka. Mereka telah sekian lama menuntut perkara itu dilakukan dan mereka berjaya sekarang.
6. Persepsi rasuah di kalangan pemimpin politik Kerajaan yang tinggi memudahkan orang ramai percayai hasutan mereka.
Pada masa yang sama, Kerajaan semakin mengambil sikap lebih lembut dan “liberal”, mungkin dalam usaha untuk memenangi semula sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu yang telah lari kepada pembangkang. Jika itulah tujuannya, nyata sekali bahawa harapan itu adalah satu kesilapan. Bukan sahaja mereka tidak kembali dan tidak berterima kasih, tetapi mereka melihatnya sebagai satu kelemahan di pihak Kerajaan dan kejayaan bagi mereka.
Saya boleh faham mengapa Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan.
Dalam tahun 1970an, seorang Hakim dari Afrika yang datang ke Malaysia untuk menghadiri satu persidangan undang-undang bertanya kepada saya: “Malaysia berada dalam keadaan darurat bukan? Saya tidak lihat sekatan jalan raya oleh tentera mahupun kereta kebal di jalan raya.” Saya jawab, “Ya, itu darurat di Malaysia. Bayangkan jika tidak.” Untuk mengatakan selepas tahun 2000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela walau pun dari segi undang-undang ia adalah sah.
Tetapi, saya dapati sukar sedikit untuk memahami mengapa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) juga turut dimansuhkan. Perlu diambil perhatian bahawa ISA bukanlah satu undang-undang yang dibuat di bawah peruntukan Perkara 150, ia itu semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa. ISA dibuat di bawah Perkara 149 yang membolehkan undang-undang seperti ISA dibuat untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.
Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan tahanan tanpa perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah kita lupa Mei 13? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira oleh siapa, komunis, militan Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Guantanamo (Untuk perbincangan mengenai ISA dan Guantanamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk “Conflict of Interests Between Different Basic Rights” dan “Legal and Judicial Transformation in Malaysia” yang boleh didapati dalam lman web saya.)
Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. ISA bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu.
Sekarang ISA telah “digantikan” dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Secara ringkas, perbezaan utama di antara keduanya ialah ISA membolehkan tahanan tanpa perbicaraan. (Tetapi tangkapan dan penahanan itu boleh dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman (judicial review)). Sebaliknya, di bawah SOSMA seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta itu mestilah dituduh di mahkamah atas tuduhan tertentu dan dibicarakan sama seperi kes jenayah lain.
Setakat ini sebanyak 38 orang telah dihadapkan ke mahkmah di bawah SOSMA, dengan 30 daripadanya di Lahat Datu. Perbicaraan sedang berjalan. Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara sendiri. Kebanayakan pertuduhan adalah di bawah Chapter VIA Kanun Keseksaan yakni kesalahan-kesalahan yang berkaitan dengan keganasan (offences relating to terrorism).
Ertinya “terrorism” yang memungkinkan kewujudan ISA masih ada. Apa yang dilakukan sekarang memang cantik di atas kertas. Tetapi soalnya, mampukan SOSMA menangani masalah terrorism? Dari segi kesalahan-kesalahan yang diwujudkan ia nampaknya lengkap. Soalnya, dapatkah pertuduhan-pertuduhan itu dibuktikan? Sama-samalah kita melihat perkembangannya.
Bagi saya ukurannya bukan sangat ISA ada atau tidak tetapi bagaimana ia dilaksanakan. Undang-undang apa pun boleh disalahgunakan. ISA pun jika dilaksanakan dengan berhemah dan menepati peraturan-peraturannya, boleh membawa hasil yang lebih baik dari SOSMA jika SOSMA disalahgunakan.
Sebaliknya, jika SOSMA dilaksanakan dengan berhemah dan ia memberi kesan yang serupa, tentulah SOSMA lebih baik.
Selain daripada itu Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah juga mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan.
Akta ini dibuat oleh British apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum. Seksyen 3(1)(f) memperuntukkan:
“…….mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181
Perlembagaan Persekutuan.”
Bahagian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.
Peruntukan ini dimasukkan akibat peristiwa 13 Mei. Ringkasnya, ia menghalang sesiapa sahaja daripada mempersoalkan perkara-perkara yang disebutkan itu untuk mengelak daripada berulangnya peristiwa 13 Mei.
Bagi saya, perwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan itu adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain. Maka kepada anaknya saya berseru: Janganlah mansuhkan apa yang ayah anda telah lakukan. Saya khuatir kiranya beliau tidak akan memaafkan anda kerananya.
Bagaimana dengan RUU Harmoni yang JPNIN sedang buat itu?
Mereka mengaitkan Akta Hasutan dengan RUU Harmoni. RUU Harmoni akan menggantikan Akta Hasutan seperti mana SOSMA menggantikan ISA. Ertinya, mengikut mereka, untuk mencapai perpaduan dan harmoni (“perpaduan”) Akta Hasutan perlulah dimansuhkan kerana ia menjadi penghalang perpaduan. Dalam kata-kata lain, berikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk menghasut orang ramai supaya membenci Raja, menghapuskan sistem beraja, mempersoalkan kedudukan Bahasa Melayu sebagi Bahasa Kebangsaan, mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kerakyatan, perpaduan akan tercapai. Lojik apa ini? Ia samalah dengan lojik seorang yang berkata “Kalau mahu tebuan berada di dalam sarangnya, jolokkan sarangnya.” Cubalah!
Maka kita perlu faham bahawa alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas langsung. Ia hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh orang-orang yang tidak sukakannya. Apatah lagi yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Itulah yang mereka mahu. Diberi peluang, terus mereka memanfaatkannya. Kita jangan terperangkap dengan helah seperti itu.
Apa untungnya orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak jika larangan- larangan mempersoalkan hak-hak yang diberi kepada mereka oleh Perkara 153 itu dihapuskan? Apakah untungnya orang Melayu jika hasutan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dibenarkan? Yang untung hanyalah orang-orang yang tidak suka peruntukan-peruntukan itu. Tanpa Akta Hasutan mereka bebas menghasut orang ramai untuk menghapuskan pemerintahan Raja Berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Itu kita mesti faham.
Selain dari itu, ada beberapa perkara yang sangat menghairankan saya mengenai usaha menggubal RUU Harmoni untuk menggantikan Akta Hasutan itu. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhkannya, hendaklah datangnya daripada kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai maklumat-maklumat, termasuk maklumat rahsia, mengenai ketenteraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya.
Soalan saya: Mengapa dalam hal ini tugas itu diambil alih oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang menterinya Tan Sri Joseph Kurup yang nampaknya bekerjasama dengan Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri? Adakah satu “rampasan” (highjacking) berlaku di sini?
Mengikut prosedur biasa, penetapan dasar dilakukan oleh kementerian berkenaan sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini, penentuan dasar, sekurang- kurangnya di peringkat permulaan, diserahkan kepada JUU&D yang ditubuhkan oleh MKPN yang di tubuh pula oleh JPNIN. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Lim Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang kedua?
Mengikut prosedur biasa juga, setelah dasar ditentukan oleh kementerian berkenaan, penggubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, penggubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang ketiga?
Disebabkan oleh kesuntukan masa, untuk tujuan wacana ini, memadailah jika saya memberi dua misalan mengenai isi kandungan RUU Harmoni.
Pertama, rang undang-undang itu menekankan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 2(i) National Harmony and Reconciliation Bill mengatakan bahawa tujuan rang undang-undang itu adalah:
“2(i) To give effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular Article 8.”
“Untuk memberi kesan kepada apa yang tertulis dan semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara 8.” – (Terjemahan saya.) Apa kata Perkara 8? Perkara 8(1) memperuntukkan:
“8. (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang- undang.”
Itulah yang mereka mahu mahkamah memberi keutamaan dalam mentafsir atau memakai (interpretation or application) undang-undang itu jika ada kes.
Sepanjang ingatan saya, saya belum penah temui satu akta yang memperuntukkan bahawa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu kena diberi perhatian yang lebih daripada yang lain-lain. Dari situ kita dapat lihat tujuan mereka yang tersirat.
Kedua, nampaknya matlamat utama penggubal RUU Harmoni adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan. Seksyen 8(1), Draft Racial and Religious Hate Crimes Bill memperuntukkan:
“8(1) The Sedition Act 1948 [Act No. 15] is repealed.”
Siapakah yang membuat tuntutan supaya Akta Hasutan dimansuhkan? Tidakkah apa yang hendak dilakukan itu untuk memenuhi kehendak mereka?
Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya: tidak. Patutkah ia dipinda? Jawapan saya: Ya. Apakah pindaan yang perlu dibuat? Jawapan saya: Masukkan Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Malaysia (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan. Sekarang menghasut terhadap kedudukan agama Islam bukanlah satu kesalahan di bawah Akta Hasutan. Mungkin kerana itu, mereka sangat berani. Semua orang Islam, sama ada dalam UMNO, PAS, PKR, NGO dan individu hendaklah bersatu dalam hal ini.
Kedua, pada pandangan saya, adalah lebih baik bagi kerajaan kiranya kesalahan menghasut terhadap kerajaan dimansuhkan. Maksud saya hanya mengenai kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini lebih demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walaupun larangan itu ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak pernah mengambil tindakan terhadap orang yang mengkritiknya kerana itu sebahagian daripada proses demokrasi. Untuk apa dikekalkan peruntukan itu?
Pada pandangan saya, itulah pendirian yang semua orang Islam, parti politik Islam dan NGO Islam, patut ambil.
Kita bukan mahukan hak orang lain. Kita bukan menuntut supaya Perlembagaan dirombak kerana kita mahu lebih. Kita cuma mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Kita cuma mahu apa yang telah dipersetujui dikekalkan untuk mengekalkan perpaduan dan harmoni. Rasiskah kita?
Pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam, tidak kira dalam parti mana hendaklah bersatu dalam mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan negara, dengan mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Malaysia yang sedia ada. Caranya ialah dengan menguatkan Kerajaan Persekutuan. PAS patutlah bekerjasama dengan UMNO dan BN di peringkat pusat. Di peringkat negeri ia boleh kekal seperti sekarang. Saya membuat seruan ini kerana saya percaya bahawa, dalam keadaan sekarang, mengikut hemat saya, itu sahaja cara yang boleh kita mempertahankan Perlembagaan dan kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia.
Anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak patut ingat bahawa apa yang menjamin nasib mereka ialah Perlembagaan Persekutuan dan mereka juga sepatutnya bersama mempertahankannya.
Sebenarnya semua pemimpin negara, tidak kira apa parti politiknya, apa bangsa dan agamanya, sama-sama mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia untuk kepentingan bersama.
Kesimpulannya:
1. Janganlah mansuh Akta Hasutan 1948.
2. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu KDN.
3. JPNIN tidak sepatutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidang kuasa KDN dan Peguam Negara.
4. Prosedur biasa di mana Kementerian berkenaan menentukan dasar dan pengpenggubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.
5. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3 dan 11 (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f).
6. Eloklah kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Hasutan untuk mengeluarkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan supaya kerajaan nampak lebih telus, terbuka dan demokratik.
7. Ketepikan draf RUU yang dibuat oleh Majlis Peguam itu.
8. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Ikutlah peraturan biasa.
9. Semua orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan semua parti politik, NGO dan pertubuhan Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak, hendaklah bersatu dalam hal ini.
10. Kita bukan hendak meminggir mana-mana kaum. Kita hanya hendak mempertahankan Perlembagaan supaya perpaduan akan berkekalan. Malah, kaum-kaum lain juga sepatutnya bersama-sama mempertahankan Perlembagaan kerana hanya dengan cara itu perpaduan dan harmoni dapat  dikekalkan.
Sekian. terima kasih.
Tun Abdul Hamid Mohamad tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my

Tuesday, July 8, 2014

Melayu! bukalah matamu...

ORANG Melayu patut buka mata luas-luas. Kalau nak tersentak, tersentap atau apa sahaja perasaan haru-biru sekarang, dipersilakan.
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim beberapa hari lalu di Dewan Negara bahawa kaum Melayu dan bumiputera adalah yang paling sedikit mendaftar sebagai pengundi patut menyedarkan orang Melayu.
Orang Melayu tidak sampai 50 peratus pun mendaftar diri meskipun komposisi kaum itu sebanyak 67 peratus. Ini, kata Shahidan, berbeza dengan kaum Cina - golongan paling aktif mendaftar sebagai pengundi. Lebih 30 peratus daripada mereka yang berumur 21 tahun ke atas telah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meskipun komposisi kaum itu di Malaysia hanya 23 peratus.
Sudahlah `kalah' dengan kaum Cina, dengan kaum India yang komposisinya cuma tujuh peratus di negara ini pun, kaum Melayu `tewas' juga dalam arena pendaftaran ini. Paling sedikit.
Kenyataan Shahidan ini bukan auta tetapi fakta. Di Kuala Lumpur, masyarakat Cina hanya 43.2% tetapi peratus pemilih kaum Cina adalah 52.15%. Di Pulau Pinang, masyarakat Cina hanya 45.6% tetapi peratus pemilih kaum Cina adalah 53.38%.
Di negeri-negeri lain, komposisi masyarakat Cina berbanding pemilih sangat berbeza. Mengapa ini terjadi? Masyarakat Melayu harus tanya diri sendiri. Sudahkah mereka atau keluarga yang telah cukup umur mendaftar sebagai pengundi?
Orang Cina yang muda apabila cukup umur 21 tahun, terus mendaftar diri mengundi. Cuba lihat setiap kali pilihan raya, tidak kiralah kecil atau besar (umum), golongan tua mereka, yang sudah uzur dan bongkok pun masih bersemangat mengundi. Mereka tahu tanggungjawab sebagai warganegara dan menjaga hak kaum mereka.
Malangnya anak muda zaman sekarang terutama Melayu, malas berfikir tentang sejarah Semenanjung Tanah Melayu yang telah bertukar nama kepada Malaysia. Golongan pertengahan pula, mendengar sesuatu maklumat tanpa berfikir secara logik dan cepat percaya - walaupun kemudahan Internet sudah ada.
Tidak ada gunanya jika orang Melayu merungut bahawa mereka semakin hilang kuasa di tanah air sendiri jika mereka sendiri malas hendak mendaftar sebagai pengundi.
Di Pulau Pinang, pernah mengikut perangkaan Jabatan Statistik pada 2010, bilangan Melayu 676,900 orang (42%) manakala Cina 658,700 (41%). Tetapi mengikut SPR, jumlah pengundi Melayu hanya 33.63% sedangkan Cina 55.05%. Itu angka empat tahun lalu, sekarang peningkatan kaum berkenaan pasti mendadak.
Sepatutnya apabila kita gagal, kita perlu salahkan diri sendiri sebelum salahkan orang lain.
Memang faktanya, DAP menang besar pada pilihan raya umum tahun lalu kerana kaum Cina adalah kaum yang begitu rajin mendaftar sebagai pengundi. Lebih-lebih lagi orang Cina di Selangor. Malangnya, orang Melayu tidak begitu rajin untuk mendaftar. Menyedihkan sama sekali.
Malahan ada orang Melayu yang bekerja di dalam kerajaan sendiri tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi. Inilah sikap orang Melayu yang suka sambil lewa.
Dalam aspek ini, ahli UMNO terutama pemimpin peringkat bahagian perlu ambil iktibar.
Pada PRU-13 lalu terdapat 119 daerah Melayu tetapi hanya 20 dianggap bandar. BN menyapu 78 daripada 99 kerusi Melayu luar bandar tetapi di bandar, BN hanya terdaya meraih lima daripada 20 kerusi bandar.
Orang UMNO kena diingatkan, sokongan orang Melayu luar bandar kepada BN meningkat secara besar di kawasan luar bandar. Dan sokongan orang Melayu bandar kepada BN menurun secara besar di kawasan bandar. Contohnya Selangor.
Jadi, faktor pendaftaran pengundi ini penting. Pernah terjadi dalam satu pilihan raya umum beberapa tahun lalu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Hitam, Kedah, UMNO kalah 506 undi kepada calon Pas hanya kerana 1,400 ahli UMNO tidak mendaftar sebagai pemilih.
Di kerusi DUN Pantai Merdeka, calon UMNO turut tewas dengan 305 undi kepada Pas kerana 1,160 ahli parti itu tidak mendaftar sebagai pemilih.
Jika seluruh orang Melayu mendaftar dan keluar mengundi dalam jumlah yang besar, kuasa pengundi Melayu akan menjadi sangat kuat sehingga pihak lain tidak mampu berkata apa-apa lagi.
Apabila SPR menyatakan "kami mempunyai 80% pengundi yang keluar mengundi", mereka tidak merujuk kepada bilangan penduduk Malaysia. Sebaliknya, SPR merujuk kepada bilangan pengundi yang berdaftar sahaja!
Kita dapat melihat bahawa PKR dan Pas telah kehilangan sokongan daripada orang Melayu berbanding pada 2008. Ini adalah berita yang mengejutkan bagi semua kerana pandangan umum orang Cina adalah orang Melayu juga tidak akan berpihak kepada BN. Dengan ini sebenarnya orang Cina telah mendapat pengesahan bahawa tanpa sokongan dan persetujuan daripada orang Melayu, slogan dan konsep 'UBAH' tidak dapat dibuat.
Kemenangan UMNO sebenarnya hasil sokongan pengundi luar bandar. Mereka merupakan jentera kukuh BN. Pengundi di bandar barangkali sudah menunjukkan penolakan secara besar-besaran terhadap BN hasil gegaran maklumat Red Bean Army.
Melayu telah pecah tiga - UMNO, Pas dan PKR manakala kaum Cina tetap solid satu, DAP.
Apakah orang Melayu akan menjadi minoriti pada PRU-14 apabila pihak lain menjadi dominan di kertas-kertas undi? Barangkali benarlah pepatah menang sorak kampung tergadai.
Namun, masih sempat lagi sebelum PRU-14 untuk mengubah tanggapan dan nasib malang yang berkemungkinan tiba.
Jawapannya, orang Melayu mesti mendaftar sebagai pengundi! - Utusan

Thursday, July 3, 2014

CHINA, STOP IT!

Uighurs pose for photos in front of a portrait of Mao Zedong in Beijing on March 3, 2013
Umat Islam Uighur di Xinjiang, Republik Komunis China adalah kaum minoriti yang selalu dianiaya dengan pelbagai dasar dan tindakan yang melanggar norma dan prinsip hak asasi antarabangsa!
Salam 2 all.

Dan kaum cauvinis tuduh Malaysia extremis, fundamentalis, taliban dan macam-macam lagi!

Sebahagian daripada umat Islam berbangsa Uighur yang merupakan minoriti di Xinjiang, Republik Komunis China dilarang mengerjakan puasa!

Puasa bulan Ramadhan bukan sahaja wajib, malah ianya sebahagian daripada Rukun Islam!

Saya mendesak Kerajaan Malaysia menggunakan hubungan baik dengan Kerajaan Republik China, dan kedudukan berpengaruh didalam OIC, untuk mendesak supaya dihentikan tindakan yang bukan sahaja menghina agama Islam, tetapi melanggar norma dan prinsip hak asasi antarabangsa.

Dan kepada umat Melayu-Islam, lihatlah perkara seperti ini dengan mata keimanan, mata keinsafan bahawa begitulah yang akan terjadi kepada kita jika negara dijajah semula!

Lihatlah penderitaan umat Islam Gaza dan Tebing Barat di Palestin yang terpaksa bermandi darah menyabung nyawa di bulan Ramadhan ini angkara rejim zionis yang menguasai mereka!

Semoga Ramadhan kali ini menambahkan ketaqwaan kepada kita semua, dan memperkukuhkan ikatan ukhwah dan kesatuan sesama kita.

Satu Aqidah! Satu Tuhan! Satu Nabi! Satu Kitab! Satu Qiblat! Jadilah kita Satu Ummah!

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin

Wednesday, July 2, 2014

LAGI ARTIKEL PUKULAN MAUT KEPADA MELAYU...


Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad
Pada pandangan saya, hubungan antara kaum di Malaysia masih baik. Rakyatberbagai kaum masih menjalani hubungan seperti biasa. Tidak ada ketegangan di antara kaum dalam hubungan mereka seharian. Hubungan sosial di antara sesama orang Melayu juga baik, tidak kira apa parti politik mereka. Apa yang berlaku semenjak PRU 12 ialah “political divide”.
PAS, melalui janji syurga yang tidak perlu ditepati, mengkafirkan penyokong UMNO dan memburukkan pemimpin-pemimpin UMNO dan lain-lain, telah berjaya menarik sebilangan besar orang Melayu untuk menjadi penyokongnya, bukan lagi di kawasan pedalaman tetapi juga di kawasan bandar, bukan lagi dikalangan orang- orang yang berkelulusan Syari’ah tetapi juga di kalangan professional. Ini telah melemahkan UMNO.
Tetapi, selagi PAS kekal bersendirian dan tertumpu kepada negeri-negeri Pantai Timur, ia tidak menjadi ancaman yang serius kepada kerajaan BN di peringkat Persekutuan. Keadaan berubah dengan penubuhan PKR. PKR telah berjaya menarik orang- orang yang kecewa, yang tidak mendapat tempat dalam UMNO, golongan oportunis dan yang marah kepada pemimpin-pemimpin UMNO tidak kira samada alasannya munasabah atau tidak. PKR telah membuktikan bahawa ia hanya mempunyai satu matlamat iaitu berjuang untuk menjatuhkan Kerajaan BN untuk membolehkan Dato’
Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai hasrat mereka, termasuk mengorbankan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Melihat perpecahan orang Melayu, orang Cina khususnya, yang memang pandai membuat perkiraan, telah bersatu di belakang DAP, mengambil faedah daripada undi penyokong PKR dan PAS untuk menjatuhkan BN dan menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah. Negeri Perak selepas PRU12 adalah misalan yang baik.
Wakil PAS dijadikan sebagai Menteri Besar menyebabkan penyokong-penyokong PAS merasa bahawa mereka telah berjaya menubuhkan sebuah “Kerajaan Islam”. Maka bertakbirlah mereka disepanjang jalan menunjuk perasaan. Hakikatnya majoriti ahli Exco adalah ahli-ahli DAP dan merekalah yang sebenarnya berkuasa. Jika dulu “Pak Kadok menang sorak kampung tergadai, sekarang Haji Kadok menang takbir negeri tergadai.” Semua ini orang Melayu, khususnya dalam PAS, mesti sedar.
 Melihat keadaan ini, NGO-NGO Cina mula menunjukan sikapnya yang sebenar: tamak dan “kiasu”. Mereka mula membuat tuntutan-tuntutan yang tidak berpatutan yang melanggar peruntukan-peruntukan Perlembagaan khususnya mengenai hak orang Melayu dan kedudukan Islam. Tindakan Gereja Katholik juga sangat merbahaya. Semua perbuatan itu bukan sahaja boleh menggugat perpaduan negara, malah ketenteraman negara. Semua ini tidak berlaku semasa orang Melayu teguh di belakang UMNO.
 Perbuatan itu mesti dibendung. Untuk itu Kerajaan hendaklah memikir semula mengenai keperluan mengadakan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kita tidak patut takut kepada kritikan mengenainya. Singapura dan Brunei mempunyai undang-undang yang serupa. Tidak pula dikritik. Apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat di Guantanamo adalah lebih teruk dari penahanan dibawah ISA. (Lihat Conflict of Interests Between Different Basic Rights dan juga Legal and judicial Transformation in Malaysia: http://www.tunabdulhamid.my.)
Disamping itu, kerajaan tidak patut terlalu berlembut apatah lagi takut kepada mereka sehingga tidak berani mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Tidak guna mempunyai undang-undang jika tidak berani menggunakannya.
UMNO juga mesti berusaha untuk menarik balik pengundi yang telah lari kepada PAS dan PKR malah sanggup mengundi DAP kerana taat kepada PKR dan PAS. PAS dan UMNO perlu berfikir untuk bekerjasama, sekurang-sekurangnya di peringkat Persekutuan untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan daripada jatuh kepada PKR dan DAP. PAS mesti sedar bahawa perjuangan asal mereka adalah untuk Melayu dan Islam; bahawa jika Pakatan Rakyat berkuasa DAP akan menjadi parti dominan, bukan PKR atau PAS; bahawa PKR tidak boleh diharap untuk membela orang Melayu dan agama Islam; bahawa DAP adalah lebih chauvinistic daripada MCA atau Gerakan; bahawa PKR atau PAS tidak boleh mengawal cita-cita
DAP seperti UMNO mengawal MCA atau Gerakan. Maka jika PAS tidak mahu hak Melayu dan kedudukan agama Islam digugat, ia hendaklah berkerjasama dengan UMNO.  Sebenarnya, diantara PAS dengan UMNO sudah tidak ada apa bezanya lagi. Demikian juga tidak ada apa bezanya di antara Kelantan yang diperintah oleh PAS selama lebih kurang 40 tahun, dengan negeri-negeri lain di Semenanjung
 Malaysia selain daripada mengadakan kaunter bayaran berasingan untuk lelaki dan perempuan. Dulu Qari’ah haram mengambil bahagian dalam tilawah Al-Qur’an. Sekarang ia sudah harus! Apa yang menjadi “penghalang” bukan ideologi tetapi kepentingan diri. Pemimpin-pemimpin di kedua buah parti takut hilang kedudukan, jawatan dan pendapatan masing-masing, jika bercantum. Soalan: adakah itu asas perjuangan mereka? Masalah ini pun boleh diatasi jika kedua parti bekerjasama untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan, selepas keputusan pilihanraya di
 Anak Negeri Sabah dan Sarawak juga patut sedar bahawa kedudukan mereka dalam Perlembagaan adalah serupa dengan kedudukan orang Melayu. Jika mereka mahu kedudukan mereka selamat, mereka hendaklah bersama-sama orang Melayu,
UMNO dan BN. Bahawa sebahagian daripada mereka beragama Kristian tidak pernah menjadi masalah. Mereka boleh terus mengamalkannya seperti biasa dalam Bahasa Kadazan dan sebagainya. Yang dibantah oleh orang Islam, terutama sekali di Semenanjung Malaysia, ialah cubaan untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam bible dan upacara agama dalam Bahasa Melayu, kerana motifnya adalah untuk mempengaruhi orang Melayu menganut agama Kristian. Ini jelas dilarang oleh Perlembagaan Malaysia.
Jika PAS dan parti-parti Anak-Anak Negeri Sabah dan Sarawak boleh bersama- sama dengan UMNO dan BN, Kerajaan Persekutuan akan selamat walau pun orang Cina bersatu di belakang DAP. Apabila mereka merasa bahawa keadaan itu akan merugikan mereka, mereka akan mula berfikir semula untuk berkerjasama denganBN. Orang Cina membuat perkiraan mengikut untung-rugi. Itu sahajalah prinsip
 Kita sekali-kali tidak hendak meminggirkan orang Cina. Semenjak PRU 1955, UMNO memberi kawasan-kawasan majoriti Melayu yang selamat kepada calon-calon MCA dan MIC semata-mata untuk memberi representasi yang lebih kepada mereka. Apa yang berlaku selepas PRU13 pun adalah pilihan mereka sendiri. Pengundi-pengundi Cina yang berdiri sebulat suara di belakang DAP mungkin akan berfikir semula apabila mereka menimbang semula untung-ruginya.
 Pengundi-pengundi India patut bertanya diri mereka samada Kerajaan Pakatan Rakyat akan menjaga kepentingan mereka lebih baik daripada rekod BN selamalebih daripada lima dekad. Umur PKR terikat dengan umur Dato Seri Anwar Ibrahim, tidak lebih dari itu.
Kerajaan mestilah bersikap tegas dan tidak melayan tuntutan-tuntutan melampau itu. Malah tindakan undang-undang hendaklah diambil terhadap mereka jika mereka melanggarnya. Di kebelakangan ini, Kerajaan nampak seolah-olah takut mengambil tindakan undang-undang terhadap aktivis yang menyebabkan mereka semakin melampau. Malah ada aktivis yang menghina lagu Kebangsaan yang bukan sahaja tidak dihadapkan ke mahkamah tetapi diberi bantuan kewangan untuk membuat filem yang memburukkan Malaysia. Cuba bayangkan bagaimana Singapura akan bertindak dalam keadaan yang serupa. Seperti disebut tadi, Kerajaan mestilah memberi pertimbangan serius untuk mengadakan semula ISA. Pelampau hanya faham ketegasan, bukan diplomasi.
 Pemimpin-pemimpin UMNO juga patut sedar diri. Sebenarnya UMNO sebagai sebuah parti Melayu berada diatas landasan yang betul. Yang dipersoalkan ialah pemimpin-pemimpinnya. Mereka, isteri dan anak-anak mereka dilihat sebagai hidup mewah di luar kemampuan mereka yang membangkitkan isu rasuah. Saya dapati, politik wang dan tertutupnya pintu untuk “orang baru” memasuki dan memenangi apa-apa jawatan dalam hirarki UMNO adalah faktor utama mengapa kalangan profesional tidak menyertai UMNO. Mereka lebih mendapat tempat dalam PAS. Jika hal ini berterusan UMNO akan ketandusan pemimpin. Hal ini telah pun dirasai hari
22.04.2014
Bilik Cempaka,Wad 28, Hospital Kuala Lumpur